Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Perikatan Nasional mula dekati, tawar ahli UMNO dipecat masuk parti

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Para pemimpin kem pembangkang Malaysia, Perikatan Nasional (PN), mengambil langkah pertama dalam mendekati para anggota UMNO yang dipecat dan digantung.

Salah seorang yang menerima "lamaran" tersebut adalah mantan Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin.

Pada lewat malam Jumaat (27 Jan), UMNO mengumumkan secara keseluruhan 42 anggota parti itu dipecat kerana didapati melanggar peraturan berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ada juga anggota yang digantung daripada parti selama enam tahun seperti mantan Menteri Pertahanan Malaysia Hishammuddin Hussein.

Keputusan yang dibuat semasa mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO itu disifatkan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi sebagai satu langkah membersihkan parti tersebut daripada pengkhianat.

Antara mereka yang terjejas adalah ahli Majlis Tertinggi UMNO Noh Omar yang menganggap keputusan dibuat sebagai tidak adil.

"Dalam mesyuarat tadi apabila dia umum saya digantung selama enam tahun, saya kata tidak, jangan gantung saya, pecat saya lebih baik. Untuk apa saya berada dalam parti yang sudah lari daripada perjuangan.

"Buat apa saya berada dalam parti yang saya berkorban beberapa lama dalam parti. Saya sudah menjadi ahli parti sejak 1976," kongsi beliau.

PN MULA BUAT TAWARAN

Menyusuli perkembangan berkenaan, pemimpin PN seperti Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim menggelar UMNO sebagai sebuah parti gila dan tidak sabar untuk memecat semua orang.

Beliau sendiri dipecat daripada UMNO beberapa hari sebelum Hari Penamaan Calon PRU15 yang lalu.

Beliau berkata: "Kepada mereka yang dipecat, terus bersabar. Kami akan mempertahankan anda. Hidup Perikatan!"

Selain Encik Shahidan, Timbalan Presiden BERSATU Ahmad Faizal Azumu turut "memberikan kata-kata semangat".

Dalam satu hantaran di akaun Twitter beliau, Encik Ahmad Faizal berkata: "Wahai saudara, sayap anda tidak lagi terikat. Sekarang, anda boleh terbang lebih tinggi. Semoga Allah berkati perjuangan suci."

Sementara itu, Parti Gerakan Rakyat iaitu salah satu parti komponen PN menjadi yang pertama mempelawa Encik Khairy menyertai parti tersebut.

Pemangku ketua sayap belia parti itu menambah bahawa beliau percaya parti tersebut amat sesuai bagi Encik Khairy.

"Ideologi parti kami berdasarkan mudahnya dan kredibiliti yang ada pada dirinya. Saya pasti ini akan beri nyawa baru kepada Khairy," menurutnya.

PKR TIDAK AKAN TERBURU-BURU

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli pula berkata PKR tidak akan terburu-buru jika ada mana-mana anggota UMNO terjejas ingin menyertai parti tersebut.

Beliau menambah PKR akan mengadakan perbincangan dahulu sebelum membuat keputusan secara bersama.

Encik Rafizi menegaskan: "Kami perlu berbincang dahulu di peringkat parti. Ia bukan keputusan saya sendiri. Saya fikir kami perlu melihatnya berdasarkan setiap satu persatu kes."

Beliau juga mengingatkan bahawa perkara itu semua hanya akan berlaku jika situasi dimaksudkan benar-benar terjadi.

Buat masa ini, menurut Encik Rafizi, situasi belum lagi ke tahap tersebut dan pertukaran parti para anggota UMNO terbabit hanyalah suatu spekulasi.

PEMECATAN BOLEH UNDANG BAHAYA: PENGANALISIS

Dalam satu laporan media tempatan, penganalisis politik Dr Jeniri Amir ditukil sebagai berkata langkah pemecatan itu sudah tentu ada risiko tetapi juga memudahkan UMNO untuk terus mengorak langkah ke hadapan.

Beliau berkata: "Langkah ini bagi memungkinkan parti itu melangkah ke hadapan dengan pasti dan mengelakkan daripada anai-anai yang boleh merosakkan UMNO pada jangka masa panjang.

"Jadi dengan tindakan drastik yang telah diambil itu, saya percaya bahawa UMNO dapat melakarkan langkah-langkah strategik yang lebih berkesan."

Namun, Dr Jeniri menekankan bahawa para anggota UMNO yang dikenakan hukuman itu merupakan mereka yang berfikiran secara 'reformist' atau menginginkan pembaharuan.

Lantaran itu, perkara tersebut mungkin membawa risiko besar dan bahaya ke atas UMNO pada masa kelak.

Mentelah lagi, beliau menambah bahawa UMNO sepatutnya menggunakan masa sekarang ini untuk memulihkan imej dan reputasi parti tersebut yang kalah teruk dalam PRU15 yang lalu.

Pergolakan dalam UMNO semakin ketara selepas parti paling lama di Malaysia itu hanya memenangi 30 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat dalam PRU15.

UMNO akan mengadakan pemilihan bagi jawatan-jawatan utama dari 1 Februari hingga 18 Mac.
Sumber : BERITA Mediacorp//Agensi Berita/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan