Skip to main content

Dunia

Perikatan Nasional akan bertanding di semua kerusi dalam pilihan raya Johor

Anggaran Waktu Membaca:
Perikatan Nasional akan bertanding di semua kerusi dalam pilihan raya Johor

Penyokong Perikatan Nasional (PN). (Gambar fail: CNA/Fadza Ishak)

Diterbitkan : 22 May 2026 03:49PM Dikemas Kini : 22 May 2026 04:00PM
KUALA LUMPUR: Gabungan pembangkang Malaysia, Perikatan Nasional (PN), menyatakan mereka akan bertanding di kesemua 56 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan datang. Ini bakal menyaksikan persaingan tiga penjuru yang sengit melibatkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi PN Johor, Sahruddin Jamal, berkata pada Khamis (21 Mei) bahawa gabungan itu – yang dianggotai oleh parti utama seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) – kini sedang menyediakan senarai calon mereka. Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan PN di negeri selatan Malaysia itu tidak boleh dipandang rendah.

Dalam PRN Johor yang lalu pada tahun 2022, PN juga bertanding di semua kerusi namun hanya berjaya memenangi tiga kerusi. PRN Johor yang seterusnya sepatutnya diadakan menjelang pertengahan tahun 2027, tetapi parti-parti politik dilaporkan memperhebat persediaan kerana ada kemungkinan pilihan raya diadakan lebih awal, seawal Ogos atau September tahun ini.

Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, menjadi pemimpin pertama yang mengumumkan pada 16 Mei tentang hasrat BN untuk bertanding di semua kerusi pada PRN akan datang.

Keesokan harinya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim daripada PH pula menyatakan bahawa mereka bersedia untuk bertanding di semua kerusi di Johor, serta dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang yang dijadualkan selewat-lewatnya pada Februari 2028.

Walaupun BN dan PH bekerjasama di peringkat kerajaan persekutuan, kedua-dua gabungan ini adalah pesaing di peringkat negeri di Johor dan Melaka. PRN Melaka pula dijadualkan berlangsung menjelang awal tahun 2027.

Di Johor, BN kini memegang 40 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN). PH pula memegang 12 kerusi, manakala Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) memegang satu kerusi.

"Kekuatan PN di Johor tidak boleh dipandang rendah... memandangkan gabungan ini sedang bersiap sedia untuk menghadapi apa yang dijangka menjadi antara pilihan raya negeri yang paling mendapat tumpuan," kata Encik Sahruddin yang berasal daripada parti Bersatu.

Namun begitu, Timbalan Pengerusi PN, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pada Selasa (19 Mei) bahawa mereka tetap terbuka untuk berunding dengan parti-parti lain bagi mengelakkan pertembungan sesama pembangkang.

“PN sedia bertanding di semua kerusi, tetapi kami mungkin terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan beberapa parti lain supaya parti-parti pembangkang tidak bertanding sesama sendiri,” katanya di ibu pejabat PAS.

Tuan Ibrahim menambah bahawa PN sedia menghadapi PH dan BN bukan sahaja di Johor, malah di negeri-negeri lain juga.

Encik Anwar pula berkata pada 17 Mei bahawa perbincangan antara rakan kongsi gabungan masih lagi berjalan. Beliau berhasrat untuk bertemu dengan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, bagi membincangkan keputusan BN untuk bertanding bersendirian di Johor.

“Kita mahu membantu dan memperbetulkan keadaan jika ada kesilapan yang dilakukan. Kita faham jika berlaku salah faham, pasti akan ada pertikaian,” kata Anwar seperti yang dilaporkan.

Sementara itu, spekulasi mengenai PRN Johor yang awal semakin bertiup kencang apabila satu mesej WhatsApp tular. Mesej tersebut mendakwa kononnya akan diadakan satu sidang khas DUN pada 24 Jun ini, lapor media New Straits Times (NST) pada Khamis.

Menurut laporan NST, terdapat khabar angin bahawa sidang khas itu mungkin ada kaitan dengan pembubaran DUN, yang akan membuka jalan kepada pilihan raya negeri.

Mengikut undang-undang, adalah menjadi hak mutlak sultan atau gabenor negeri untuk membubarkan DUN atas nasihat Menteri Besar, yang biasanya datang daripada parti atau gabungan yang memerintah negeri tersebut.

Bagaimanapun, Pengerusi PN Johor, Sahruddin, memberitahu NST bahawa beliau tidak dimaklumkan tentang sebarang sidang khas dan tiada pengesahan rasmi daripada pejabat setiausaha DUN.

Di dalam lingkungan PN sendiri, keretakan masih berlaku antara Bersatu dan PAS. Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, berkata pada hari Jumaat bahawa mereka sedang menilai semula pakatan tersebut, termasuk kemungkinan untuk bertanding dalam PRU akan datang tanpa Bersatu.

“Kami akan melihat kebaikan dan keburukan pakatan sekarang,” kata Encik Hadi seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia. “Kami tidak kecewa, tetapi kesabaran kami ada hadnya.”

Ketegangan antara mereka termasuklah kontroversi yang berlaku di Perlis baru-baru ini. Isu itu menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang daripada PAS, Mohd Shukri Ramli, meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar pada Disember lalu, dan digantikan oleh ADUN Kuala Perlis daripada Bersatu, Abu Bakar Hamzah.

Peletakan jawatan Shukri berlaku selepas lapan akuan bersumpah (SD) ditandatangani oleh ADUN negeri – tiga daripada PAS dan lima daripada Bersatu – yang menarik balik sokongan terhadap beliau.

Encik Shukri menyatakan alasan kesihatan sebagai punca beliau berundur, namun mengakui beliau terkejut dengan tindakan menarik balik sokongan oleh ADUN PN yang lain secara tiba-tiba.

Selain PAS dan Bersatu, Perikatan Nasional juga dianggotai oleh parti-parti yang lebih kecil iaitu Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita