Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Perikatan Modi dahului kebanyakan kerusi dalam kiraan awal undi

Anggaran Waktu Membaca:
NEW DELHI: Perikatan pimpinan Parti Bharatiya Janata (BJP) yang diterajui oleh Perdana Menteri India Narendra Modi memperoleh majoriti jelas dalam perebutan kerusi dewan rendah parlimen yang mempunyai seramai 543 anggota dalam kiraan undi awal pada Selasa (4 Jun), menurut saluran televisyen tempatan.

Saluran-saluran tersebut menunjukkan Perikatan Demokratik Nasional (NDA) mendahului dengan lebih 300 kerusi. Parti BJP sahaja berjaya memenangi 255 kerusi.

Sementara itu, pakatan pembangkang yang diterajui oleh Parti Kongres, di bawah pimpinan Rahul Gandhi, meraih 172 kerusi, dengan Kongres sahaja memperolehi 71 kerusi.
Berdasarkan kiraan awal, saluran Republic TV, menganggarkan kiraan undi lebih berpihak kepada Encik Modi.

Kertas undi pertama yang dikira adalah undi melalui pos, iaitu undi, yang kebanyakannya dibuat oleh para askar yang berkhidmat di luar kawasan undi mereka atau pegawai yang berada di luar rumah untuk menjalankan tugas pilihan raya.

Tahun ini, undi melalui pos turut ditawarkan kepada para pengundi berusia lebih 85 tahun dan golongan kurang upaya untuk membolehkan mereka mengundi dari rumah.

Kiraan undi dijangka berlangsung selama beberapa jam kerana sebahagian besar undi yang dikira dalam mesin pengundian elektronik atau EVM diambil selepas 30 minit pertama kiraan undi melalui pos.

"Ini adalah kiraan awal, kita akan melihat hasil yang lebih baik kemudian," kata jurucakap Kongres Pawan Khera.

Tinjauan pendapat yang disiarkan selepas pengundian berakhir pada 1 Jun mengunjurkan kemenangan besar untuk PM Modi, tetapi tinjauan sedemikian kadangkala kurang tepat.

Hampir satu bilion penduduk layak mengundi, dengan 642 juta sudahpun keluar mengundi bagi pilihan raya tersebut.
Sumber : Reuters/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan