Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Perhimpunan pemimpin pembangkang M'sia disuraikan secara aman bawah arahan polis

Polis hari ini (2 Ogos) menghalang percubaan Ahli Parlimen Pembangkang memasuki pekarangan bangunan Parlimen bagi mendesak supaya sidang khas disambung walaupun ia sudahpun ditangguhkan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) berikutan penularan COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Perhimpunan pemimpin pembangkang M'sia disuraikan secara aman bawah arahan polis

Ahli Parlimen Pembangkang Malaysia, Anwar Ibrahim, bercakap kepada seornag pegawai polis ketika beliau dan yang lain berarak ke parlimen untuk membantah penutupannya di Kuala Lumpur pada 2 Ogos 2021. (Gambar: Arif Kartono/AFP)

Diterbitkan : 02 Aug 2021 05:51PM Dikemas Kini : 02 Aug 2021 05:53PM

KUALA LUMPUR: Polis hari ini (2 Ogos) menghalang percubaan Ahli Parlimen Pembangkang memasuki pekarangan bangunan Parlimen bagi mendesak supaya sidang khas disambung walaupun ia sudahpun ditangguhkan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) berikutan penularan COVID-19.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohamad Zainal Abdullah berkata mereka bersurai tanpa sebarang kekecohan selepas diarahkan oleh pihak polis.

Beliau berkata walaupun mereka bersurai dengan aman tetapi berlaku banyak perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) khususnya berkaitan penjarakan fizikal.

Awal dari itu, mereka berkumpul di Dataran Merdeka sebelum berarak menuju ke Parlimen.

Bagaimanapun, tindakan mereka itu dihalang oleh pasukan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Bulatan Datuk Onn, laluan menghala ke Parlimen, dan mereka bersurai kira-kira pukul 10.50 pagi.

Minggu lepas, KKM mencadangkan agar semua sesi mesyuarat Parlimen ditangguhkan untuk tempoh dua minggu mulai 29 Julai ekoran pengesanan kes COVID-19 dan kebimbangan risiko penularan jangkitan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan dan Pilihan Khas Parlimen serta pembentangan yang dirancang di Parlimen atau yang melibatkan individu berada di bangunan itu dari 26 hingga 29 Julai lalu.

Beliau berkata 104 orang disaring pada 26 hingga 28 Julai lalu di Parlimen melalui ujian saringan kendiri RTK antigen (Ag) air liur. Pada 12.30 tengah hari 29 Julai, KKM dimaklumkan mengenai dua kes positif COVID-19 yang telah hadir ke Parlimen.

Kes pertama merupakan seorang petugas yang hadir ke Parlimen sejak 26 Julai 2021 dan dikesan positif melalui ujian pengesahan RT PCR di sebuah kemudahan kesihatan kerana bergejala batuk manakala kes kedua dikesan semasa saringan di Parlimen pada pagi 29 Julai menggunakan ujian kendiri RTK antigen (Ag) air liur kerana gejala batuk dan loya. 

Berikutan dua kes positif, KKM mengambil keputusan segera untuk menjalankan saringan ujian kendiri RTK Ag air liur ke atas 1,183 individu di dalam Parlimen dan mendapati sembilan lagi kes positif COVID-19. 

Dr Noor Hisham berkata ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif sebanyak 11, iaitu seorang RT PCR positif dan 10 orang RTK Ag positif dengan lima daripadanya bergejala. 

Beliau menambah setakat ini, 48 kontak rapat dikenal pasti, namun siasatan serta pengesanan kontak rapat masih lagi diteruskan,. Beliau berkata pada 30 Julai, saringan prapersidangan Dewan Negara dijalankan ke atas 100 individu menggunakan ujian RT PCR mendapati sembilan kes positif COVID-19.  

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan