Skip to main content

Dunia

Perhimpunan Agung PBB tuntut gencatan senjata segera dikuatkuasakan

Anggaran Waktu Membaca:
Perhimpunan Agung PBB tuntut gencatan senjata segera dikuatkuasakan

(Gambar: ANGELA WEISS / AFP)

Diterbitkan : 13 Dec 2023 07:26AM Dikemas Kini : 13 Dec 2023 07:27AM
NEW YORK: Rakyat Palestin mendapat sokongan padu pada Selasa (12 Dis) dalam resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menuntut gencatan senjata segera di Gaza, untuk menuju ke arah menamatkan perang Israel-Hamas, yang kini memasuki bulan ketiga. Sebanyak 153 undi menyokong ketetapan itu, manakala 10 menentang dan lagi 23 berkecuali.

Selepas Amerika Syarikat menggunakan kuasa veto untuk menolak ketetapan Majlis Keselamatan PBB pada Jumaat lalu yang menuntut gencatan senjata segera dikuatkuasakan, negara-negara Arab dan Islam menggesa sidang tergempar Perhimpunan Agung PBB seramai 193 anggota untuk mengundi ketetapan yang membuat tuntutan yang sama.

Tidak seperti ketetapan Majlis Keselamatan, ketetapan Perhimpunan Agung PBB tidak mengikat di sisi undang-undang. Tetapi mesej yang disampaikan melalui perhimpunan itu "juga sangat penting" dan mencerminkan pendapat dunia, kata jurucakap PBB Stephane Dujarric pada Isnin (11 Dis).

Undian Perhimpunan Agung mencerminkan pengasingan Amerika Syarikat yang semakin meningkat kerana negara itu enggan menyertai tuntutan untuk gencatan senjata. Lebih daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau mana-mana pertubuhan antarabangsa lain, Amerika Syarikat dilihat sebagai satu-satunya entiti yang mampu memujuk Israel supaya menerima gencatan senjata sebagai sekutu terdekatnya dan pembekal terbesar senjata kepada negara itu.

Riyad Mansour, Duta Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), memberitahu para wartawan pada Selasa (12 Dis) bahawa duta-duta Arab dan Islam telah menggerakkan sokongan untuk ketetapan itu. Dalam ketetapan awal pada 27 Okt, Perhimpunan Agung PBB (UNGA) menggesa "gencatan senjata" yang membawa kepada pemberhentian permusuhan.

Ketetapan itu adalah reaksi pertama PBB terhadap perang di Gaza, dan undian ketika itu adalah 120 undi menyokong, 14 undi menentang dengan 45 berkecuali.

"Saya fikir ia akan menyampaikan mesej kepada Washington dan kepada orang lain," kata Encik Mansour.

Beliau menambah bahawa tuntutan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, sama ada Majlis Keselamatan atau Perhimpunan Agung PBB (UNGA), harus dilihat sebagai mengikat. “Dan Israel harus mematuhinya, dan mereka yang bersekutu dengan Israel dan melindungi Israel sehingga sekarang juga harus melihatnya dengan cara ini, dan oleh itu perlu bertindak dengan sewajarnya.”

Ketetapan UNGA itu menyuarakan "kebimbangan yang mendalam terhadap situasi bencana kemanusiaan di Carikan Gaza dan penderitaan penduduk awam Palestin," dan ia menegaskan bahawa rakyat Palestin dan Israel mesti dilindungi mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Perang Israel-Hamas telah menyebabkan kematian dan menimpakan kemusnahan yang belum pernah berlaku sebelum ini, dengan sebahagian besar utara Gaza punah-ranah dan lebih 18,000 rakyat Palestin terbunuh menurut Kementerian Kesihatan Gaza, 70 peratus daripada mereka dilaporkan kanak-kanak dan wanita, dan lebih 80 peratus daripada 2.3 juta penduduk kehilangan tempat berteduh.
Sumber : Agensi berita/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita