Skip to main content

Dunia

Perhimpunan Agung PBB lulus belanjawan program AS$3.45 bilion bagi 2026

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan belanjawan program pertubuhan itu bagi tahun 2026 yang berjumlah AS$3.45 bilion (S$4.44 bilion), pada Selasa (30 Dis) lapor Xinhua.
Anggaran Waktu Membaca:
Perhimpunan Agung PBB lulus belanjawan program AS$3.45 bilion bagi 2026
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres. (Gambar fail: REUTERS/Ibraheem Abu Mustafa)
NEW YORK: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan belanjawan program pertubuhan itu bagi tahun 2026 yang berjumlah AS$3.45 bilion (S$4.44 bilion), pada Selasa (30 Dis) lapor Xinhua.

Belanjawan itu sebahagian besarnya mencerminkan cadangan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres bagi pemotongan sumber kewangan sebanyak 15 peratus serta pengurangan hampir 19 peratus daripada jumlah kakitangannya.

Awal sebelum itu pada hari yang sama, belanjawan tersebut diluluskan oleh Jawatankuasa Kelima Perhimpunan Agung yang bertanggungjawab bagi urusan pentadbiran dan belanjawan.

Rundingan mengenai belanjawan program 2026 itu menonjolkan kekangan kewangan yang sedang dihadapi serta inisiatif UN80 yang lebih luas, yang bertujuan untuk meningkatkan kecekapan, mengurangkan pertindihan fungsi dan menyelaraskan sumber dengan mandat agensi dengan lebih baik.

Negara-negara anggota berbahas hebat berhubung saiz dan skop belanjawan itu, termasuk cadangan pengurangan jawatan kakitangan, pembiayaan untuk misi politik khas, serta peruntukan sumber bagi keutamaan reformasi baharu.

Perbincangan menjadi lebih rumit berikutan kebimbangan terhadap cabaran aliran tunai, sumbangan yang lewat atau tidak lengkap daripada negara anggota, serta keperluan untuk mengimbangi disiplin fiskal dengan keperluan operasi pertubuhan tersebut.

Menurut Penolong Setiausaha Agung PBB bagi Perancangan Program, Kewangan dan Belanjawan, Chandramouli Ramanathan, sebanyak 2,900 jawatan akan dimansuhkan bermula Rabu (31 Dis).

PBB mengakhiri tahun 2024 dengan tunggakan berjumlah AS$760 juta (S$977.86 juta).

Setakat 1 Disember 2025, sebanyak AS$709 juta (S$912.24 juta) bagi tahun 2024 masih belum dibayar, manakala tambahan AS$877 juta (S$1.13 bilion) yuran bagi tahun 2025 masih belum diterima, menjadikan jumlah keseluruhan tunggakan sebanyak AS$1.586 bilion (S$2.04 bilion).
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita