Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Perhimpunan Agung PBB bahaskan kuasa veto Majlis Keselamatan

Liechtenstein bersedia mengemukakan draf ketetapan kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) - dianggotai 193 ahli - yang memerlukan mana-mana lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB yang memiliki kuasa veto untuk mewajarkan penggunaannya, lapor Agensi Anadolu.
 

Anggaran Waktu Membaca:

NEW YORK: Liechtenstein bersedia mengemukakan draf ketetapan kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) - dianggotai 193 ahli - yang memerlukan mana-mana lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB yang memiliki kuasa veto untuk mewajarkan penggunaannya, lapor Agensi Anadolu.

Hak veto anggota tetap sudah lama dibincangkan, bagaimanapun, isu itu kini menjadi perhatian sejak Rusia melancarkan operasi ketenteraan ke atas Ukraine hingga mengakibatkan ribuan orang terkorban.

Majlis itu dilihat tidak dapat menjalankan fungsinya sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila ada di antara ahlinya menggunakan kuasa veto untuk kepentingan sendiri.

Ketetapan itu mungkin diundi pada 26 April ini.

Jika diterima pakai, Perhimpunan Agung akan bersidang dalam tempoh 10 hari sekiranya ahli majlis tetap menggunakan kuasa veto terhadap sebarang ketetapan, membahaskan isu di bawah kuasa veto dan meminta negara itu mempertahankan tindakannya.

Ketetapan itu ditaja bersama 57 negara termasuk Amerika Syarikat dan Turki.

"Apabila Ahli Tetap menggunakan kuasa veto, ahli itu harus bersedia menjelaskan mengapa ketetapan yang dipertikaikan tidak menjamin keamanan dan keselamatan antarabangsa," kata wakil tetap AS ke PBB Linda Thomas-Greenfield dalam satu kenyataan minggu lalu.

"Kami amat bimbang dengan tindakan Rusia menyalahgunakan keistimewaan vetonya sejak dua dekad lalu," tambahnya.

"Resolusi Perhimpunan Agung PBB mengenai veto akan menjadi langkah penting ke arah kebertanggungjawapan, ketelusan dan kewajiban semua Anggota Tetap Majlis Keselamatan," tekan beliau.

Rusia merupakan negara paling kerap menggunakan kelebihan itu.

Veto pertama digunakan oleh Kesatuan Soviet pada tahun 1946. Rusia setakat ini sudahpun menggunakan kuasa veto itu terhadap 120 ketetapan.

Rusia menggunakan kuasa veto ketika perang saudara Syria pada 2011 dan China memihak kepada Rusia dalam kebanyakan ketetapan, termasuk satu mengenai penggunaan senjata kimia di Syria.

Rusia antara negara paling kerap menggunakan keistimewaan itu, diikuti oleh AS.

Setakat ini, AS sudahpun menggunakan kuasa veto terhadap 82 ketetapan, kebanyakannya menentang keputusan terhadap Israel.

UK dan Perancis tidak menggunakan kuasa veto mereka sejak 1989.

Kelima-lima negara ini boleh menggunakan kuasa veto bagi menghalang sebarang cadangan atau draf ketetapan yang dikemukakan.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan