Skip to main content

Dunia

Perhimpunan Agung khas Umno diadakan pinda 2 fasal perlembagaan parti

Anggaran Waktu Membaca:
PONTIAN: Satu perhimpunan agung khas akan diadakan semasa perhimpunan tahunan UMNO bulan depan bagi membuat pindaan pada dua fasal perlembagaan parti, kata Setiausaha Agung UMNO Ahmad Maslan.

Beliau berkata perhimpunan itu akan diadakan selepas ucapan dasar Presiden pada 13 Januari di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, dan notis untuk perhimpunan itu diberikan menerusi surat bertarikh 13 Disember lalu kepada ketua bahagian, setiausaha bahagian serta setiausaha Wanita, Pemuda dan Puteri.

Katanya pindaan itu antaranya melibatkan Fasal 20.11 yang menyebut seseorang ahli yang menang bertanding tetapi meninggalkan parti atau bertanding sebagai calon Bebas atau parti lawan pada pilihan raya akan gugur keahlian dengan sendirinya, untuk disesuaikan dengan Akta Anti Lompat Parti.

"Dan perkara (lain) yang nak dipinda ialah Perlembagaan UMNO, yang dicadang dipinda supaya meletakkan ketua penerangan (bahagian) sebagai mereka yang automatik menjadi perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO setiap tahun, yang melibatkan pindaan pada Fasal 8.4," kata beliau kepada wartawan selepas pertemuan dengan masyarakat setempat Taman Seri Api-Api hari ini.

Beliau berkata dengan pindaan berkenaan ketua penerangan bahagian akan secara automatik menjadi perwakilan untuk perhimpunan tahunan itu, manakala ketua penerangan bagi Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian juga secara automatik menjadi perwakilan kepada perhimpunan tahunan sayap.

Ketika ditanya sama ada terdapat usul berkenaan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan atau tidak pada perhimpunan agung khas itu, beliau berkata keputusan mengenai dua jawatan tertinggi itu hanya akan diputuskan ketika mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Khas pada 12 Januari 2023 sebelum Perhimpunan Agung esoknya.

"Belum ada sebarang keputusan mengenainya (jawatan Presiden dan Timbalan) sehingga hari ini. Kita tunggulah (selepas mesyuarat MT)," kata beliau.

PAU 2022 yang sebelum ini dijadualkan pada 21 hingga 24 Disember 2022, ditangguhkan kepada 11 hingga 14 Januari 2023.
Sumber : Bernama/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita