Pereka imej 'Cabaran Momo' sudah hapuskan patung
Artis Jepun di sebalik imej-imej yang mencetuskan permainan 'Cabaran Momo' memberitahu agensi berita AFP pada Isnin (4 Mac) bahawa beliau sudahpun menghapuskan patung yang menakutkan itu sejak dahulu lagi, sambil menambah bahawa ia tidak bertujuan untuk membahayakan nyawa sesiapa pun.
Skulptur ini dipamerkan buat pertama kali di sebuah pameran bertemakan hantu di Tokyo. (Gambar: @between.mirrors/Instagram)
TOKYO: Artis Jepun di sebalik imej-imej yang mencetuskan permainan 'Cabaran Momo' memberitahu agensi berita AFP pada Isnin (4 Mac) bahawa beliau sudahpun menghapuskan patung yang menakutkan itu sejak dahulu lagi, sambil menambah bahawa ia tidak bertujuan untuk membahayakan nyawa sesiapa pun.
Imej yang menggerunkan itu direka berdasarkan hantu Jepun yang dikenali sebagai 'ubume' - iaitu seorang wanita yang mati semasa bersalin, seperti yang dijelaskan oleh Keisuke Aiso, ketua syarikat LINK FACTORY yang berpangkalan di Tokyo, yang membuat peralatan bagi drama-drama televisyen.
Skulptur, yang direka dengan menggunakan silikon dan berukuran setinggi sekitar satu meter tinggi, itu dipamerkan buat pertama kali di sebuah pameran bertemakan hantu yang diadakan di daerah Ginza di Tokyo pada 2016. Namun, ia tidak menarik perhatian ramai pada masa itu.
Patung berkenaan merupakan salah satu daripada skulptur bertemakan hantu yang direka oleh Aiso. Artis itu berkata: "Ya, ia bertujuan untuk menakutkan-nakutkan orang, tetapi ia bukanlah bertujuan untuk membahayakan nyawa sesiapa pun."
Aiso, 43, sudahpun menghapuskan skulptur itu pada tahun lalu kerana ia semakin rosak. "Ia tidak ada kena-mengena dengan kes baru-baru ini," tegasnya.
Imej-imej patung itu digunakan dalam satu cabaran yang menjadi viral, di tengah-tengah laporan-laporan mengenai kanak-kanak dipengaruhi oleh 'momo' untuk melakukan kegiatan berbahaya, termasuk mencederakan diri sendiri dan membunuh diri.
Bagaimanapun, tiada bukti yang menunjukkan bahawa ia benar, dengan kisah dogeng itu didapati disebarkan melalui media sosial oleh para ibu yang menjadi prihatin terhadap cabaran tersebut.
Aiso, yang kelihatan binggung dengan laporan-laporan tersebut, memberitahu AFP: "Saya lebih gembira jika cabaran seumpama itu tidak pernah wujud."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.