Perebutan jawatan No. 2 dalam parti PKR: Rafizi dan Nurul Izzah bersuara tentang langkah anti-rasuah PM Anwar
Calon-calon yang bersaing untuk merebut jawatan nombor dua dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tampil mengkritik agenda anti-rasuah beliau.

Menteri Ekonomi Malaysia, Rafizi Ramli (kiri), dan anak perempuan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah Anwar (kanan), akan berentap dalam pemilihan yang bakal berlangsung bagi jawatan nombor dua dalam Pakatan Rakyat yang dipimpin Encik Anwar. (Gambar: CNA/Try Sutrisno Foo, Facebook/Nurul Izzah Anwar)
Pencalonan bagi Pemilihan PKR yang dijadual berlangsung hujung bulan ini, telah ditutup pada Jumaat lalu (9 Mei), dengan Nurul Izzah, 44 tahun, dan Rafizi, 47 tahun, yang juga Menteri Ekonomi Malaysia, bersaing merebut jawatan timbalan presiden.
Pemenang pemilihan itu dijangka menjadi pengganti utama Encik Anwar – yang tidak dicabar bagi jawatan presiden – dan akan membantu memimpin parti itu dalam pilihan raya umum akan datang, yang dijangka diadakan selewat-lewatnya pada Februari 2028.
Pada hujung minggu lalu, Encik Rafizi memberi amaran bahawa perdana menteri berisiko kalah dalam pilihan raya umum akan datang jika tumpuannya beralih daripada kempen anti-rasuah yang membantunya dipilih.
“Kami masih belum yakin bahawa kami dapat terus memimpin kerajaan bagi penggal kedua di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim,” kata Encik Rafizi seperti yang dipetik portal berita Free Malaysia Today (FMT).
Bercakap dalam satu jelajah kempen di Negeri Sembilan, Encik Rafizi berkata "kegagalan kerajaan dalam menangani isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa" menjadi kebimbangan para pengundi.
Beliau merujuk kepada satu tinjauan parti yang menunjukkan peningkatan sebanyak 15 peratusan mata dalam kalangan pengundi yang menganggap isu itu sebagai “masalah besar”. Kadar tersebut meningkat kepada 31 peratus pada April 2025 berbanding 16 peratus pada November 2023.
“Saya telah bentangkan dan berbincang dengan PM, dan beritahu beliau berkali-kali – jangan pandang ringan tanggapan rakyat mengenai rasuah kerana itu aset paling penting kita,” kata Encik Rafizi, yang menggunakan slogan kempen “Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa.”
Namun, dalam satu acara berasingan di Kedah pada Isnin, Encik Rafizi mengejutkan ramai pihak apabila beliau menggesa para penyokongnya supaya mengundi Cik Nurul Izzah. Menurutnya, pemilihan jawatan timbalan presiden PKR adalah ujian samada Encik Anwar diterima atau tidak.
“Misal kata Nuruk Izzah kalah - apa mesejnya kepada rakyat? Jika beliau kalah, mesejnya ialah anggota-anggota PKR menolak Anwar. Sebab itulah Nurul Izzah mesti menang,” katanya.
Encik Rafizi turut menyalahkan para pemimpin kanan parti kerana mendorong Cik Nurul Izzah agar bertanding, dengan mengatakan bahawa tindakan itu mencetuskan isu yang tidak diperlukan, didorong usaha dalaman untuk mengenepikan ketua-ketua cabang yang menyokongnya.
Keputusan Cik Nurul Izzah untuk bertanding juga dibelenggu tuduhan nepotisme – yang telah beliau nafikan – dan Encik Rafizi mengingatkan para penyokong Cik Nurul Izzah agar tidak “menghina kecerdikan rakyat” dalam mempertahankan pencalonan tersebut.
“Kita boleh berhujah sampai bila-bila, sama ada ini adalah nepotisme atau tidak, tapi itu tidak penting. Yang penting, rakyat boleh menilai dan membuat keputusan sendiri apabila tiba pengundian,” katanya seperti dipetik oleh Malay Mail.
Encik Anwar dan para penyokong setianya cuba meredakan ketegangan berhubung persaingan merebut jawatan timbalan presiden parti.
Pada Ahad lalu, Encik Anwar mengatakan bahawa pemilihan jawatan kepimpinan PKR pada 23 Mei seharusnya dianggap sebagai “pertarungan antara sahabat-sahabat setia.”
LANJUTAN KONTRAK AZAM BAKI “TIDAK DIALU-ALUKAN”
Pada hujung minggu lalu, Cik Nurul Izzah menyifatkan lanjutan kontrak ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, sebagai sesuatu yang “tidak dialu-alukan”.
Encik Azam dilantik pada 2020 oleh pentadbiran terdahulu, dan kontraknya telah dilanjutkan sebanyak dua kali.
Apabila kerajaan perpaduan pimpinan Encik Anwar dibentuk pada Disember 2022, beliau mempertahankan keputusannya untuk tidak menggantikan Encik Azam, dengan alasan bahawa beliau mahu menghentikan amalan lazim di mana setiap kali perdana menteri bertukar, ketua agensi anti-rasuah juga perlu ditukar.
Lanjutan kontrak Encik Azam diumumkan pada Jumaat lalu, dan penggal baharunya selama setahun bermula pada Selasa (13 Mei).
Dalam satu catatan di platform X pada Sabtu lalu, Cik Nurul Izzah menggambarkan pelantikan itu sebagai “lanjutan yang tidak dialu-alukan”.
Beliau mengatakan bahawa PKR perlu berpegang pada agenda reformasi, dan menambah: “Kami menyeru para penjawat awam dan tokoh yang tabah dan berani agar tampil ke hadapan.”
Encik Rafizi pula berkata beliau tidak boleh memberi komen secara terbuka mengenai perkara itu walaupun beliau tidak bersetuju secara peribadi.
“Ia bertentangan dengan etika (sebagai anggota Kabinet) kerana keputusan itu dibuat oleh perdana menteri. Jadi, saya perlu berdiam diri,” katanya dalam podcast beliau pada Sabtu, seperti yang dipetik oleh Free Malaysia Today.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.