Skip to main content

Dunia

Percutian pasangan adik beradik SG berubah cemas ekoran gempa Turki

Anggaran Waktu Membaca:
Percutian pasangan adik beradik SG berubah cemas ekoran gempa Turki

(Gambar Ihsan: Tajjlee Rahim)

BERITAMediacorp: Kegembiraan pasangan adik beradik warga Singapura, Tajjlee Rahim, 35 tahun dan adik perempuannya, Sriwayuni Rahim, 29 tahun, melancong selama dua minggu ke Turki berubah cemas apabila negara itu dilanda gempa sekuat 7.8 Richter awal pagi tadi (6 Feb).

"Pada jam 4 pagi tadi, kami sedang tidur dan terasa gegaran. Apabila saya bangun, adik saya kejut saya, saya fikir ada ribut salji tetapi apabila saya berdiri dan tutup tingkap, semuanya bergegar dan tidak boleh berdiri dengan betul. Kami mula panik kerana gegarannya tidak henti-henti," kata Encik Tajjlee kepada BERITAmediacorp.

Menurutnya, beliau terus menghubungi pemandu pelancong mereka dan dinasihati supaya meninggal bilik mereka.

"Kami berkumpul di luar lobi hotel dan keadaannya sangat huru hara. Saya melihat kanak-kanak menangis dan memekik meminta bantuan. Kelihatan juga warga emas yang duduk di atas kerusi roda. Kami gerun kerana kami berada di Sanliurfa 12 jam sebelum kejadian. Kami diberitahu masjid dan bangunan yang kami kunjungi 12 jam sebelum itu musnah sama sekali,"  kongsi beliau.

Menurutnya lagi, mereka dan tetamu hotel yang lain kemudian dibenarkan kembali ke bilik untuk mendapatkan beg-beg mereka.

Pemandu pelancong Encik Tajjlee dan Cik Sriwayuni memastikan keadaan selamat sebelum memutuskan untuk memindahkan mereka ke wilayah Cappadocia yang lebih selamat.

Related article image
(Gambar: Tajjlee Rahim)

"Perjalanan ke Cappadocia memakan masa lima jam dari  Haliliye. Namun, perjalanannya dijangka mengambil masa lebih lama kerana permukaan jalan raya retak dan berlubang akibat kesan gempa," kongsi beliau.

Mereka sudahpun menghubungi keluarga mereka di Singapura serta memaklumkan Kedutaan Singapura di Ankara dan Kementerian Ehwal Luar (MFA).

Encik Tajjlee mengakui sama sekali tidak menyangka percutian mereka itu akan berubah dalam sekelip mata.

"Semua berlaku secara cepat, jadi kami masih sedang memahami situasi. Tetapi secara fizikal saya okay, cuma daripada segi emosi dan juga mental ia masih belum lagi mudah untuk diproses. Saya masih tidak boleh percaya apa yang terjadi. Buat masa sekarang kami beri tumpuan untuk keluar dari kawasan pantai," dengan nada sayu.

Related article image
(Gambar: Tajjlee Rahim)

Rancangan asal pasangan adik beradik itu yang tiba di Turki pada 31 Jan lalu adalah untuk terbang ke Bursa di Istanbul lusa ini (8 Feb) namun syarikat penerbangan Turkish Airlines tidak dapat dihubungi.

Mereka akan menginap di sebuah hotel di Cappadocia sementara memutuskan pergerakan mereka selanjutnya

Sementara ini satu rombongan dari Singapura seramai 33 orang baru tiba di Bursa, Turki hari ini.

Ustaz Muhd Nazer Monet dari Thoha Travel & Tours berkata kumpulan itu merupakan rombongan jemaah umrah yang singgah di Turki.

"Kami akan berada di Bursa dan Istanbul sebelum berangkat ke Madinah, Arab Saudi. Kami tidak terjejas dengan kejadian gempa dan akan meneruskan program kami seperti yang dirancangkan," kata beliau.

Menurutnya, rombongan itu akan bertolak ke Arab Saudi pada Khamis ini (9 Feb).

Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita