Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Percubaan tumbangkan Kerajaan Perpaduan tidak akan berhasil: KJ

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Desas-desus ada komplot Perikatan Nasional (PN) ingin tumbangkan kerajaan Anwar Ibrahim.

Namun, kerajaan ke-15 Malaysia itu akan kekal stabil jika kedua-dua Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dapat mempertahankan negeri Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Zamil Pelawat Kanan ISEAS - Institut Yusof Ishak Khairy Jamaluddin berkata demikian dalam satu wawancara eksklusif bersama BERITAmediacorp pada Selasa (9 Mei).

KENAPA KJ RASA KOMPLOT TIDAK AKAN BERJAYA

Menurut Encik Khairy yang merupakan mantan Menteri Kesihatan Malaysia, percubaan menukar kerajaan adalah melalui pembentangan undi tidak yakin di Parlimen ataupun penyerahan Surat Akuan Bersumpah (SD) kepada Yang Di-Pertuan Agong.

Beliau mendedahkan walaupun kedua-dua cara itu nampak mudah secara teori tetapi sebenarnya sukar untuk dilaksanakan.

"Saya tidak nampak bahawa Istana ingin melayan satu lagi percubaan untuk bertukar kerajaan. Kita sudah berapa kali tukar kerajaan dalam tempoh masa empat hingga lima tahun yang lepas, sudah tiga Perdana Menteri.

"Kedua, tidak mudah untuk satu usul ketidak percaya kepada kerajaan. Dia ada banyak tutur caranya dan banyak cara untuk menghalang usul tersebut untuk dibentang. Jadi walaupun mungkin kita dengar bermacam teori dan konspirasi dan sebagainya, tetapi bagi saya kedudukan Anwar Ibrahim dan juga kerajaan yang sedia ada agak selamat buat masa ini," jelas beliau.
Dalam pada itu, Encik Khairy yakin rakyat Malaysia termasuk bukan penyokong PM Anwar ataupun PH tidak mahu menyaksikan satu lagi pertukaran kerajaan berlaku di negara itu.

Mentelah lagi, Malaysia sudah memasuki fasa endemik dan memerlukan kestabilan politik untuk bangkit daripada kegawatan ekonomi dek pukulan COVID-19.

KOMPLOT PN TUMBANGKAN KERAJAAN

Sejak kebelakangan ini terdapat desas-desus bahawa PN sedang merancang untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan dengan beberapa cara.

Media tempatan turut melaporkan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin mendakwa sudah menerima lebih 111 SD yang ingin beliau menggantikan PM Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Komplot PN itu juga didakwa melibatkan beberapa Ahli Parlimen (AP) BN yang akan meletak jawatan supaya Pilihan Raya Kecil diadakan.

Para pemimpin Kerajaan Perpaduan sudahpun satu persatu mengkritik hebat dakwaan-dakwaan tersebut sambil menggesa PN untuk memberikan perhatian dalam membantu rakyat Malaysia.

Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri Malaysia menekankan bahawa sokongan para AP BN masih taat setia kepada PM Anwar.

PM Anwar mencabar pihak pembangkang supaya memfailkan usul tidak yakin terhadapnya dalam sidang Parlimen akan datang.

“Ia amat mengganggu. Desas-desus di sana sini dari 126, 114, apakah angka ini? Kami terbuka kepada usul tidak yakin. Kami akan lawan di parlimen.
"Kenapa? Kerana saya mahu menamatkan persoalan tentang ketidakstabilan politik ini supaya kita boleh fokus membantu rakyat," tegas beliau.

MENGAPA SENTIMEN INGIN TUMBANGKAN KERAJAAN MASIH ADA?

Dengan pertukaran kerajaan sudah berlaku sebanyak tiga kali sejak 2020, persoalannya mengapa ahli politik Malaysia masih mempunyai sentimen hendak menumbangkan kerajaan?

Encik Khairy menjawab pemikiran sedemikian masih wujud kerana buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia menyaksikan keputusan hung Parlimen dalam Pilihan Raya ke-15 yang lalu.

Beliau menambah: "Tidak ada mana-mana parti yang mendapat kemenangan mutlak. Ramai yang menganggap bahawa PM Anwar telah mendapat kemenangan mutlak, tidak. Dia punya parti 80 lebih sahaja kerusi Hendak dapat kemenangan mutlak mesti dapat 112 kerusi di Parlimen Malaysia.

"Jadi bilangan yang ada pada PM Anwar, Pakatan Harapan sahaja jauh kurang daripada apa yang diperlukan. Mestilah pelbagai minat ataupun pelbagai konspirasi dan teori menumbangkan kerajaan kedengaran."
Sungguhpun demikian, Encik Khairy berkata beliau percaya formula Kerajaan Perpaduan yang mana beberapa parti atau gabungan politik membentuk kerajaan adalah yang paling berkesan dalam jangka masa panjang bagi Malaysia.

HARAPAN KJ BAGI MASA DEPAN POLITIK MALAYSIA

Lantaran itu, beliau menggariskan beberapa harapannya untuk masa depan politik seberang tambak.

Pada jangka masa pendek, Encik Khairy melahirkan harapan agar PM Anwar dapat menunjukkan hala tuju yang lebih jelas termasuk bagi perancangan ekonomi.

"Berbanding dengan Perdana Mentari-Perdana Menteri sebelum ini, contoh zaman dato Najib atau Mahathir, Anwar melukiskan gambar yang agak cantik tetapi dari segi hala tuju masih samar atau langsung tidak ada. Jadi beliau kena meluangkan sedikit masa dalam tempoh sebulan dua ini betul-betul buat kerja untuk siapkan satu pelan dan juga satu perancangan yang teliti dengan butiran apa dia nak buat.

"Sebab kalau tanya kepada orang apa selain daripada isu menentang rasuah dan tatakelola yang baik, yang diperjuangkan oleh PM Anwar, ramai yang tidak tahu sebab tidak ada," ujarnya.

Bagi jangka masa panjang di bawah pentadbiran PM Anwar, Encik Khairy pula berharap politik Malaysia akan terus bebas kepada idea dan pandangan diutarakan tanpa rasa takut.
"PM Anwar selama ini memperjuangkan kebebasan suara dan saya juga sekarang ini banyak mengeluarkan pandangan saya dan tidak ada apa-apa masalah.

"Saya tidak rasa takut dan saya rasa ini adalah asas kepada satu wadah politik, ataupun satu pentas politik yang lebih rasional dan matang. Beliau bagus untuk negara kita," jelasnya.

Dengan cara kepimpinan begitu, Encik Khairy percaya lebih ramai pemimpin muda akan muncul sekaligus menjadi pemimpin seterusnya.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan