Skip to main content

Dunia

Perbicaraan tuntutan pampasan waris mangsa tragedi MH370 bermula Isnin ini

Anggaran Waktu Membaca:
Perbicaraan tuntutan pampasan waris mangsa tragedi MH370 bermula Isnin ini

(Gambar fail: Agensi berita)

Diterbitkan : 24 Nov 2023 11:36AM
BEIJING: Selepas lebih sembilan tahun tragedi pesawat Malaysia Airlines MH370 hilang tanpa dikesan, akhirnya proses perbicaraan tuntutan pampasan antara ahli keluarga mangsa dengan Malaysia Airlines, Boeing dan syarikat lain akan bermula di Beijing pada 27 November ini (Isnin).

Mahkamah di China akan mendengar tuntutan pampasan bagi keluarga rakyat negara berkenaan yang hilang dalam nahas tersebut pada 8 Mac 2014, lapor Astro Awani.

Sehingga kini, kehilangan MH370 kekal menjadi salah satu misteri penerbangan terbesar dunia apabila pesawat yang membawa 239 penumpang dalam perjalanan ke Beijing itu dilaporkan tidak dapat dikesan.

Kira-kira dua pertiga daripada penumpang malang itu terdiri daripada warga negara China.

Dalam laporan ahli keluarga mangsa, notis perbicaraan mahkamah akan dimulakan dan dijangka berterusan sehingga pertengahan Disember ini.

Waris penumpang pesawat MH370 berharap agar undang-undang China dapat membawa keadilan kepada keluarga mangsa.

Mereka mendakwa tidak pernah menerima sebarang pampasan mahupun permohonan maaf dalam tempoh 10 tahun lalu, seperti dinukil laporan Astro Awani.

Penyiasat mengeluarkan laporan setebal 495 muka surat pada Julai 2018, menyatakan kawalan pesawat itu berkemungkinan sengaja dimanipulasi untuk melencongkannya tetapi dalang di sebalik tindakan itu tidak dapat ditentukan.

Ahli keluarga terus mendesak agar pencarian disambung semula berikutan lebih 30 serpihan disyaki dikumpulkan dari pelbagai tempat di seluruh dunia, yang dihanyutkan di sepanjang pantai Lautan Hindi dan disahkan sebagai serpihan bangkai pesawat MH370.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita