Perbicaraan tuduhan pembunuhan kaum Myanmar bermula 10 Dis
Para peguam dalam kes terhadap Myanmar yang dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas etnik minoriti Muslim Rohingya, akan merayu hakim untuk mengarahkan tindakan segera melindungi masyarakat itu daripada keganasan susulan.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague. (Gambar fail: Piroschka van de Wouw/Reuters)
THE HAGUE: Para peguam dalam kes terhadap Myanmar yang dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas etnik minoriti Muslim Rohingya, akan merayu hakim untuk mengarahkan tindakan segera melindungi masyarakat itu daripada keganasan susulan.
Kes yang bakal dibicarakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague bermula 10 Disember dan difailkan oleh Gambia bagi pihak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Pertuduhan adalah berkaitan kempen ganas tentera Myanmar terhadap masyarakat Muslim Rohingya pada bulan Ogos 2017.
Kes mendakwa tindakan Myanmar terhadap Muslim Rohingya itu berniat menghapuskan sebahagian atau keseluruhan etnik minoriti berkenaan, satu jenayah antarabangsa yang dianggap paling dahsyat ke atas kemanusiaan.
Sepanjang sesi tiga hari, Gambia akan merayu panel 16 hakim PBB di ICJ untuk melaksanakan "langkah-langkah sementara" bagi melindungi masyarakat Rohingya sebelum kes itu dibicarakan sepenuhnya.
Lebih 730,000 Muslim Rohingya melarikan diri dari Myanmar ke Bangladesh sejak tindakan keras tentera pada 2017 yang melibatkan insiden rogol, pembunuhan dan pembakaran rumah. Para penyiasat PBB mendapati pada Ogos tindakan itu dilakukan dengan "niat penghapusan kaum". Myanmar secara tegas menafikan dakwaan terbabit.
ARAHAN SEKAT ASKAR MYANMAR MUNGKIN DIKELUARKAN
Pejabat pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi, seorang penerima hadiah keamanan Nobel, menyatakan Cik Suu Kyi akan secara peribadi mengetuai pembelaan negaranya.
Pasukan guaman Myanmar dijangka berhujah bahawa kempen pembunuhan beramai-ramai itu tidak berlaku, mahkamah tertinggi PBB menjangkaui bidang kuasanya dan kes tersebut tidak memenuhi syarat bahawa pertikaian berlaku antara Myanmar dengan Gambia.
Permintaan Gambia bagi dilaksanakan tindakan sementara adalah setara dengan perintah kekangan ke atas sebuah negara.
"Jika mahkamah mendapati terdapat ancaman ketara dan ia perlu campur tangan, ia boleh... mengarahkan Myanmar menghentikan segera operasi ketenteraan dan keganasan agar orang awam dilindungi," kata Priya Pillai, seorang peguam antarabangsa bersama badan NGO, Asia Justice Coalition (Perikatan Keadilan Asia).
PERBICARAAN ICJ DIJANGKA AMBIL MASA BERTAHUN
Satu keputusan berhubung langkah sementara dijangka mengambil masa beberapa minggu. Perbicaraan berhubung tuduhan utama berkaitan pembunuhan beramai-ramai mungkin bermula pada 2020, namun kes-kes di ICJ, mahkamah tertinggi PBB bagi pertikaian antara negara, lazimnya mengambil masa beberapa tahun.
Myanmar yang penduduknya adalah majoriti penganut Buddha, menolak tuduhan pembunuhan beramai-ramai ke atas penduduk Muslim. Namun pemerintah negara itu enggan mendedahkan perincian kes pembelaannya sebelum perbicaraan bermula.
Sebelum ini Myanmar menepis hampir kesemua tuduhan yang dibuat oleh para pelarian terhadap askarnya, termasuk tuduhan merogol dan pembunuhan beramai-ramai dan membakar harta benda. Pihaknya menegaskan operasi terbabit dijalankan secara sah mengikut undang-undang untuk membanteras pengganas.
Para penyiasat PBB bagaimanapun mendapati keganasan seksual yang dilakukan askar Myanmar ke atas wanita dan gadis Rohingya pada 2017 menunjukkan tentera itu bertujuan memusnahkan masyarakat minoriti Muslim.
Pemerintah Myanmar gagal mempertanggungjawabkan sebarang pihak, lantas pihaknya kini dipertanggungjawabkan "di bawah Konvensyen Pembunuhan Kaum atas kegagalannya menyiasat dan menghukum tindakan-tindakan penghapusan kaum", menurut laporan para penyiasat.
Dapatan tersebut, serta kes-kes guaman lain yang dilancarkan terhadap Myanmar dalam minggu-minggu kebelakangan ini, amat kritikal dalam prosiding ICJ.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.