Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Perbicaraan rasuah Rosmah ditangguh lagi

Perbicaraan kes rasuah Rosmah Mansor berhubung projek tenaga solar untuk 369 sekolah di kawasan luar bandar di Sarawak ditangguh lagi buat kali ketiga kerana status MySejahtera beliau masih menunjukkan beliau ada kontak rapat dengan kes COVID-19. 

Anggaran Waktu Membaca:
Perbicaraan rasuah Rosmah ditangguh lagi

Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri Malaysia Najib Razak. (Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 13 Dec 2021 04:46PM Dikemas Kini : 13 Dec 2021 04:47PM

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes rasuah Rosmah Mansor berhubung projek tenaga solar untuk 369 sekolah di kawasan luar bandar di Sarawak ditangguh lagi buat kali ketiga kerana status MySejahtera beliau masih menunjukkan beliau ada kontak rapat dengan kes COVID-19.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan membatalkan perbicaraan hari ini selepas timbalan kanan pendakwa raya Gopal Sri Ram memaklumkan bahawa status MySejahtera Rosmah masih berwarna jingga.

"Saya diberitahu oleh rakan saya bahawa klien mereka tidak dapat menghadiri mahkamah kerana status (jingga) masih belum berubah. Situasi ini amat sukar bagi saya kerana saya sudahpun mencadangkan kepada mahkamah tentang kemungkinan mengadakan perbicaraan secara hibrid."

"Saya juga menyarankan agar Rosmah dibenarkan mengemukakan bukti dari rumahnya, dengan adanya dua timbalan pendakwa raya, peguam pembela dan juga pegawai mahkamah," kata Encik Sri Ram.

Peguam Jagjit Singh yang mewakili Rosmah mengesahkan bahawa setakat hari ini, status MySejahtera Rosmah belum berubah ke warna biru dan meminta maaf atas perkara tersebut.

"Perbicaraan seterusnya dijadual berlangsung pada 23 Disember dan saya yakin anak guam saya akan dapat hadir. Saya lebih senang jika perbicaraan dilaksanakan seperti biasa dengan semua pihak terlibat hadir di mahkamah," kata Encik Jagjit.

Namun, Hakim Mohamed Zaini berkata beliau akan mempertimbangkan cadangan Encik Sri Ram untuk mengadakan perbicaraan secara hibrid untuk memastikan perbicaraan itu dapat dijalankan tanpa gangguan lagi.

"Saya harus bertolak ansur kerana kes ini tidak boleh berterusan sebegini dan perbicaraan ini harus berakhir juga. Semakin sukar untuk melihat penghujung kes ini," kata hakim lagi.

Mahkamah kemudian menetapkan dua tarikh tambahan, iaitu 23 dan 24 Disember, serta lagi enam hari pada 10, 11, 12, 13 dan 14 Januari dan 4 Februari tahun depan bagi perbicaraan tersebut.

Pada 8 dan 10 Disember, hakim tersebut juga membatalkan perbicaan Rosmah, sekali gus menegaskan prosedur operasi standard (SOP) kompleks mahkamah itu hanya membenarkan individu mempunyai paparan status MySejahtera berwarna biru untuk masuk ke dalam bangunan manakala individu yang menjadi kontak rapat atau kasual, tidak dibenarkan memasuki premis berkenaan.

Rosmah yang menyambut hari lahir ke-70 hari ini berdepan satu pertuduhan mendapatkan RM187.5 juta (S$60.8 juta) dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta (S$2.1 juta) daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Rizal Mansor.

Ia sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion (S$406 juta) untuk melengkapkan 369 sekolah di kawasan luar bandar di Sarawak dengan tenaga solar hibrid.  

Sumber : Bernama/NY/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan