Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Perbicaraan penjatuhan hukuman terhadap penembak Christchurch dimulakan

Pelampau kulit putih yang membunuh 51 umat Islam dalam tembakan rambang di dua masjid di New Zealand, tidak menunjukkan sebarang emosi semasa perbicaraan bagi penjatuhan hukumannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Perbicaraan penjatuhan hukuman terhadap penembak Christchurch dimulakan

Brenton Tarrant, semasa perbicaraan di Mahkamah New Zealand pada 24 Ogos 2020. (Gambar: John Kirk-Anderson menerusi Reuters)

Diterbitkan : 24 Aug 2020 04:42PM Dikemas Kini : 24 Aug 2020 04:49PM

CHRISTCHURCH: Pelampau kulit putih yang membunuh 51 umat Islam dalam tembakan rambang di dua masjid di New Zealand, tidak menunjukkan sebarang emosi semasa perbicaraan bagi penjatuhan hukumannya.

Dalam perbicaraan sama, para pendakwa turut mendedahkan butiran tentang rancangan si penembak yang sangat teliti, untuk meragut seramai mungkin nyawa.

Mahkamah malah diberitahu, Brenton Tarrant ingin "menembak lebih ramai mangsa daripada jumlah yang ditembak mati". Hari ini (24 Ogos) merupakan hari petama perbicaraan bagi penjatuhan hukuman, yang dijangka berlangsung selama empat hari.

Keluarga para mangsa yang terkorban mahupun mereka yang terselamat, turut menghadiri perbicaraan itu.

Mahkamah diberitahu bagaimana Tarrant melepaskan tembakan ke atas lelaki, wanita dan kanak-kanak sedang dia merakamkan insiden itu secara 'live' di media sosial. Niat jahat itu diteruskan tanpa menghiraukan rayuan para mangsa.

Bukan itu sahaja, mayat seorang mangsa digilis ketika dia bergerak ke masjid selanjutnya pada hari kejadian.

Apabila dia melihat seorang budak tiga tahun berpaut pada kaki ayahnya, Tarrant melepaskan "dua tembakan selepas menetapkan sasaran", kata pendakwa Barnaby Hawes kepada mahkamah.

Tarrant mengaku bersalah terhadap 51 tuduhan membunuh, 40 percubaan membunuh dan satu lagi tuduhan melancarkan serangan pengganas di dua masjid di Christchurch pada Mac tahun lalu.

Peguam menjangkakan lelaki berusia 29 tahun itu akan menjadi pesalah pertama di New Zealand yang akan menjalani hukuman penjara seumur hidup, tanpa peluang dibebaskan sama sekali.

Tarrant diberkas ketika dia sedang dalam perjalanan ke masjid ketiga di Ashburton, yang terletak sekitar sejam di selatan Christchurch.

Dalam pakaian penjara dan dijaga tiga pegawai polis, Tarrant hanya mendiamkan diri semasa perbicaraan dan hanya melihat sekitar bilik mahkamah, ketika pendakwa Hawes mendedahkan secara ringkas fakta-fakta di sebalik kekejaman yang dilakukan Tarrant, dan para anggota masyarakat Muslim yang terselamat daripada tragedi itu mengimbas kembali pengalaman yang mengerikan itu.

"Dia mengaku (kepada polis) memasuki kedua-dua masjid dengan niat membunuh seramai mungkin jemaah," kata Encik Hawes.

"Dia mengatakan dia sebenarnya ingin menembak lebih ramai orang dan sedang dalam perjalanan ke satu lagi masjid di Ashburton untuk melancarkan satu lagi serangan ketika ditangkap."

"Semasa soal siasat, dia mengaku melakukan 'serangan pengganas," tambah pendakwa.

"Dia juga mengatakan bahawa serangan dilakukan atas ideologi yang dipegangnya dan dia ingin menakut-nakutkan mereka yang dianggap 'pengacau', termasuk penduduk Islam dan para pendatang Eropah."  

Sumber : AFP/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan