Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Perbicaraan kes saman Anwar Ibrahim terhadap Muhyiddin Yassin bermula Ogos 2024

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes saman Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim terhadap Muhyiddin Yassin akan bermula Ogos tahun depan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. 

Saman itu berhubung ucapan didakwa berbaur fitnah mengenai Encik Anwar menerima gaji sebanyak RM15 juta (S$4.47 juta) semasa berkhidmat sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.

Peguam S.N Nair, yang mewakili Encik Anwar, berkata pada pengurusan kes hari ini (22 Mei), Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain menetapkan perbicaraan selama sembilan hari iaitu pada 5, 6, 7, 12, 13, 14, 26, 27 dan 28 Ogos 2024.

“Mahkamah juga mengarahkan pihak-pihak memfailkan permohonan interlokutari, jika ada, selewat-lewatnya pada 15 Jun 2023. Pengurusan kes seterusnya pada 21 Jun 2023,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Prosiding hari ini turut dihadiri seorang lagi peguam Encik Anwar iaitu Jaden Phoon Wai Ken manakala Chetan Jethwani dan Ivy Shu mewakili Encik Muhyiddin.

Pada 20 Disember 2022, Encik Anwar memfailkan saman itu mendakwa Encik Muhyiddin, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), membuat kenyataan fitnah tersebut dalam satu ucapan semasa ‘Grand Finale Perikatan Nasional Padang Serai’ di Taman Selasih, Kulim sebagai menyokong calon PN Azman Nasrudin bagi PRU15 pada 5 Disember 2022.

Sehubungan itu, Encik Anwar, 75 tahun, menuntut daripada Encik Muhyiddin antaranya ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan perintah injunksi untuk menghalang beliau daripada terus menerbit atau mengedarkan kenyataan fitnah serupa.

Encik Muhyiddin dalam pernyataan pembelaan pula mendakwa ucapan beliau itu tidak berunsur fitnah sebaliknya adalah komen yang adil selain ia sebahagian daripada kempen politik untuk menyokong Encik Azman.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan