Skip to main content

Dunia

Perbicaraan kes rasuah, salah guna kuasa Muhyiddin bermula Isnin

Anggaran Waktu Membaca:
Perbicaraan kes rasuah, salah guna kuasa Muhyiddin bermula Isnin
Kira-kira 30 saksi pendakwaan akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi perbicaraan kes melibatkan Mantan PM Muhyiddin Yassin. (Gambar fail: Bernama)
 
Diterbitkan : 08 Mar 2026 06:12PM Dikemas Kini : 08 Mar 2026 06:17PM
  • Perbicaraan Muhyiddin Yassin atas tuduhan rasuah dan menerima wang hasil aktiviti haram bermula 9 Mac di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
  • Beliau didakwa menyalahgunakan kedudukan sebagai Perdana Menteri untuk memperoleh suapan RM232.5 juta daripada beberapa syarikat bagi parti Bersatu antara 2020 hingga 2021.
  • Muhyiddin juga berdepan pertuduhan menerima RM200 juta hasil aktiviti haram yang dimasukkan ke akaun Bersatu di bank di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara 2021 hingga 2022.
  • Perbicaraan melibatkan kira-kira 30 saksi, dengan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan; representasi Muhyiddin untuk gugurkan pertuduhan telah ditolak.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes mantan Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin atas tuduhan menyalahgunakan kedudukan melibatkan suapan berjumlah RM232.5 juta (S$75.4 juta) dan menerima wang RM200 juta (S$64.86 juta) hasil aktiviti haram bermula Isnin (9 Mac) di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata prosiding kes itu akan bermula pada pukul 9.00 pagi di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin.

“Perbicaraan akan bermula dengan pihak pendakwaan menyampaikan kenyataan pembukaan yang menggariskan pertuduhan serta bukti terhadap tertuduh dan dua saksi akan memberi keterangan esok,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Ahad (8 Mac).

Pada 10 Nov tahun lalu, Hakim Noor Ruwena menetapkan 29 hari untuk perbicaraan kes berkenaan yang dijadualkan pada 9 hingga 11 Mac; 13, 16, 28 dan 29 April; 25 dan 26 Mei; 6 hingga 10, 13 hingga 17 serta 27 hingga 29 Julai, dan bersambung pada 17 hingga 21 dan 26 serta 27 Ogos 2026.

Kira-kira 30 saksi pendakwaan akan dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

Pada 7 Okt 2025, Jabatan Peguam Negara menolak representasi Encik Muhyiddin bagi menggugurkan tujuh pertuduhan terhadapnya.

Encik Muhyiddin, 78, yang ketika kejadian memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dengan 20 Ogos 2021.

Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 (S$3243.10) mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta (S$1.62 juta), yang mana lebih tinggi.
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita