Skip to main content

Dunia

Perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid bersambung 10 Apr

Perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi melibatkan dana Yayasan Akalbudi (YAB) dijadualkan semula selama 27 hari bermula 10 April ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid bersambung 10 Apr

Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi. (Gambar fail: BERNAMA)

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi melibatkan dana Yayasan Akalbudi (YAB) dijadualkan semula selama 27 hari bermula 10 April ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh tersebut pada sebutan kes itu, yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran dan peguam Hisyam Teh Poh Teik, mewakili Encik Ahmad Zahid.

Mahkamah menetapkan perbicaraan bersambung 10 hingga 13 April, 15 hingga 18 Mei, 12 hingga 15 Jun, 24 hingga 27 Julai dan Ogos iaitu pada tanggal 1 hingga 3, 7 hingga 10 serta 21 hingga 24.

Sebelum ini, Cik Raja Rozela memaklumkan kepada mahkamah bahawa hari ini (16 Jan) ditetapkan untuk sebutan kes dan terdapat penambahan tarikh baharu.

“Tarikh (tambahan) yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak ialah 12 hingga 15 Jun dan 24 hingga 27 Julai disusuli pada 1 hingga 3, 7 hingga 10 dan 21 hingga 24 Ogos.Jjadi tarikh yang ditetapkan pada bulan April dan Mei dikekalkan,” kata Cik Raja Rozela.

Peguam Hisyam kemudian mengesahkan perkara berkenaan di prosiding membela diri kes timbalan perdana menteri itu.

Encik Ahmad Zahid, 70 tahun, yang memakai sut berwarna hitam tiba di mahkamah pada 8.45 pagi.

Setakat ini, pihak pembelaan telah memanggil enam saksi termasuk Encik Ahmad Zahid di perbicaraan kes bela dirinya.

Encik Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, menghadapi 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik YAB.
Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita