Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Perbicaraan kes gangguan seksual pendakwah M'sia Ebit Lew ditangguh sehingga Mei

Anggaran Waktu Membaca:
TENOM: Perbicaraan kes pendakwah terkenal Ebit Irawan Ibrahim Lew, atau Ebit Lew, yang dijadual berlangsung pada Khamis (9 Feb) dan Jumaat (10 Feb) sudah ditangguhkan dan akan bersambung pada 11 dan 12 Mei, 20 hingga 23 Jun serta 11 hingga 14 Julai depan.

Majistret Nur Asyraf Zolhani menetapkan tarikh baru itu susulan bantahan peguam Ram Singh terhadap keterangan saksi pendakwaan ketujuh iaitu dapatan pakar forensik berhubung dokumen di dalam pemacu kilat yang mengandungi 90 imej lucah.

"Susulan keputusan mahkamah ini untuk mendengar keterangan mengenai kandungan dokumen itu dan memanggil Inspektor Yip sebagai saksi, pembelaan akan membawa perkara ini ke Mahkamah Tinggi untuk semakan.

“Pembelaan memohon agar prosiding ditangguhkan dan Inspektor Yip tidak dipanggil sehingga permohonan semakan berhubung perkara ini dilupuskan oleh Mahkamah Tinggi yang akan dilakukan secepat mungkin," kata Ram Singh.

Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria, yang membantah permohonan untuk menangguhkan prosiding itu, berkata pendakwaan bersedia untuk menyoal Yip dan mengemukakan dokumen terbabit sebagai eksibit.

Bagaimanapun, Nur Asyraf berkata demi kepentingan keadilan dan agar permohonan semakan itu tidak akan bersifat akademik, beliau membenarkan penangguhan prosiding sehingga perkara itu didengar serta dilupuskan.

"Justeru, mahkamah akan membenarkan saksi pendakwaan ketujuh Inspektor Yip Chang Ching memberi keterangan. Bagaimanapun, pembelaan juga mempunyai hak untuk meminta masa yang munasabah bagi memeriksa dokumen itu dan memanggil semula serta menyoal mana-mana saksi berkaitan dokumen terbabit," katanya.

Yip dijangka memberi keterangan berhubung 90 imej terkandung di dalam pemacu kilat yang diambilnya daripada telefon bimbit tertuduh.

Lew, 37 tahun, berdepan 11 tuduhan melakukan gangguan seksual termasuk mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 40-an iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah kepada mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun tahun lepas.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan kes itu bermula pada bulan September tahun lalu dan enam saksi pendakwaan sudahpun memberi keterangan.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan