Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Perbicaraan kes dera anak angkat tarik perhatian rakyat Korea Selatan

Pendakwa raya Korea Selatan pada Rabu (13 Jan) menuntut ibu angkat yang dituduh mengakibatkan kematian bayi perempuan berusia 16 bulan didakwa atas tuduhan membunuh, lapor agensi berita Yonhap.

Anggaran Waktu Membaca:
Perbicaraan kes dera anak angkat tarik perhatian rakyat Korea Selatan

(Gambar: Agensi berita)

Diterbitkan : 13 Jan 2021 03:03PM Dikemas Kini : 13 Jan 2021 03:04PM

SEOUL: Pendakwa raya Korea Selatan pada Rabu (13 Jan) menuntut ibu angkat yang dituduh mengakibatkan kematian bayi perempuan berusia 16 bulan didakwa atas tuduhan membunuh, lapor agensi berita Yonhap.

Hari pertama perbicaraan kes berprofil tinggi itu berlangsung di Mahkamah Daerah Selatan Seoul. Wanita yang dikenali sebagai Jang sebelum ini didakwa atas tuduhan termasuk penderaan kanak-kanak sehingga mengakibatkan kematian. Bapa angkatnya pula didakwa melakukan penderaan dan pengabaian. 

Namun, selepas pendakwa meneliti semula punca kematian bersama pakar forensik selepas timbul keraguan, mereka mendapati bahawa Jang mungkin mempunyai niat membunuh atau sekurang-kurangnya menyedari bayi itu boleh mati akibat dipukul dan tingkah laku penderaan lain.

Jika sabit kesalahan, Jang boleh dikenakan hukuman maksimum penjara seumur hidup atau lebih berat.

Semasa perbicaraan itu, peguam Jang menafikan tuduhan bahawa anak guamnya sengaja membahayakan bayi itu sambil mengakui dia ada kalanya bertindak kasar terhadapnya, seperti "menjatuhkan," "menolak" dan "menggoncang" bayi itu, menyebabkan bayi itu mengalami patah tulang.

"Mungkin wujud penyebab antara kesalahan dan kematian, tetapi dakwaan tertuduh sengaja menggunakan kekerasan untuk menyebabkan kematian mangsa adalah tidak benar," kata peguam itu.

Bayi itu yang bernama Jung-in, dijadikan anak angkat pada Februari lalu dan meninggal dunia pada Oktober kerana kecederaan parah di perut dan mengalami pendarahan dalaman disebabkan “hentakan luaran yang kuat”. Ibu angkatnya menegaskan bayi itu cedera kerana dia secara tidak sengaja menjatuhkannya.

Laporan penyiasatan yang disiarkan awal bulan ini menarik tumpuan terhadap kes itu dan bagaimana tiada pihak pun secara proaktif memberi campur tangan bagi mencegah kejadian itu daripada berlaku meskipun terdapat tanda-tanda jelas berlaku penderaan.

Ketua polis negara minggu lalu memohon maaf atas tindak balas awal agensi itu dan siasatan yang tidak mencukupi, walaupun menerima tiga aduan yang mengatakan bayi itu disyaki didera dalam tempoh lima bulan.

Kes penderaan itu menyedihkan dan mencetuskan kemarahan di seluruh negara. Ratusan orang menghantar petisyen ke mahkamah untuk menuntut keadilan bagi bayi perempuan itu. Perbicaraan disiarkan secara langsung di dua bilik tambahan di mahkamah kerana ramai hadir untuk mengikuti perbicaraan. 

Di luar mahkamah, para penunjuk perasaan dilihat memegang papan tanda menuntut hukuman mati untuk Jang, karangan bunga berwarna putih dan kuning juga kelihatan sebagai mengenang kematian tragis kanak-kanak itu. Satu pesanan berkata, "Maaf kerana terlambat, sayang anda." 

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan