Skip to main content

Dunia

Perbicaraan kes 1MDB Najib ditunda; peguam tidak sihat

Anggaran Waktu Membaca:
Perbicaraan kes 1MDB Najib ditunda; peguam tidak sihat

Peguam Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 06 Oct 2022 08:20PM
KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes Najib Razak membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi pada Khamis (6 Okt) ditangguhkan ke 11 Oktober setelah peguamnya Muhammad Shafee Abdullah dikatakan sakit.

Seorang lagi peguam mantan perdana menteri itu, Alaistair Brandah Norman memberitahu Hakim Collin Lawrence Sequerah bahawa Muhammad Shafee demam serta sakit tekak yang teruk menyebabkan beliau tidak dapat hadir ke mahkamah pada Khamis (6 Okt).

“(Muhammad Shafee) sakit pagi tadi dan diberi cuti sakit selama empat hari, bermula hari ini hingga 9 Okt. Beliau tidak dapat hadir ke Mahkamah Rayuan pagi ini."

“Bagi perbicaraan kes 1MDB minggu depan pada 11 Okt, kami memohon pengurusan kes ditetapkan pada 2.30 petang kerana beliau telah diarahkan hadir pada satu lagi kes rayuan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Azhar Abdul Hamid… beliau dikehendaki mengemukakan enam alasan bagi kes yang telah berlangsung sejak 1999 dan tidak akan dapat hadir untuk sesi pagi perbicaraan,” katanya.

Peguam itu juga memohon agar perbicaraan yang dijadualkan pada 12 Okt diadakan pada sebelah petang kerana Muhammad Shafee perlu berada di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Kamal Md Shahid untuk permohonan Najib mendapatkan kebenaran bagi semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Jabatan Penjara yang tidak membenarkan permintaan bekas perdana menteri itu menghadiri sidang Dewan Rakyat.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam berkata pendakwaan tidak membantah penangguhan pada Khamis, bagaimanapun memohon saksi sebelum ini, Ketua Pasaran Modal Perbankan Persendirian AmBank Yap Wai Keat dan bekas Pengarah Bukan Eksekutif AmBank Cheah Tek Kuang, yang masih belum disoal balas dan disoal semula diselesaikan sebelum memanggil saksi lain.

Pada ketika itu, hakim berkata saksi-saksi berkenaan akan tergantung jika perkara tersebut diteruskan dan meminta pihak pendakwaan mengaturkan saksi baru bagi memastikan perbicaraan diteruskan.

“Kes (1MDB) ini tertangguh sekian lama. Kami tidak boleh menunggu mahkamah ini dan mahkamah itu, kami juga mempunyai komitmen untuk menyelesaikan perbicaraan ini. Sila pastikan saksi baru tersedia pada hari itu (11 dan 12 Okt)," kata hakim.

Perbicaraan 1MDB pada Khamis sepatutnya diteruskan dengan pemeriksaan balas terhadap Cheah, yang merupakan saksi pendakwaan ke-39 oleh Muhammad Shafee.

Encik Najib, 69 tahun, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion (S$715 juta) daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
 
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita