Skip to main content

Dunia

Perbicaraan kes 1MDB Najib di Mahkamah Tinggi ditangguh, tunggu rayuan kes SRC

Anggaran Waktu Membaca:
Perbicaraan kes 1MDB Najib di Mahkamah Tinggi ditangguh, tunggu rayuan kes SRC

(Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 18 Aug 2022 07:32PM
KUALA LUMPUR:Perbicaraan Najib Tun Razak berhubung kes penyelewengan dana RM2.3 bilion (S$710 juta) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dijadualkan bersambung minggu depan, ditangguhkan sementara menunggu perkembangan rayuan terakhirnya dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan 23 Ogos untuk pengurusan kes bagi pihak-pihak berkaitan mengemas kini perkembangan rayuan kes SRC Encik Najib di Mahkamah Persekutuan.

Peguam Encik Najib, Aizuddin Wan Mohammed memberitahu hakim bahawa beliau menjangka prosiding rayuan itu berlangsung sehingga minggu depan.

“Kami jangka ia akan berterusan sehingga minggu depan memandangkan tarikhnya telah ditetapkan oleh Mahkamah Persekutuan. Saya rasa empat hari akan datang (22 - 25 Ogos) perbicaraan 1MDB minggu depan seharusnya dilapangkan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustafa P Kunyalam mewakili pendakwa raya.

Encik Najib, 69 tahun, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion (S$710 juta) daripada dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Sementara itu Encik Mohamad Mustafa memberitahu pemberita bahawa perbicaraan kes meminda laporan audit 1MDB yang melibatkan Encik Najib dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy akan bersambung pada 26 Ogos.

Beliau berkata perbicaraan sepatutnya diteruskan hari ini di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan, namun telah ditangguhkan atas sebab yang sama.

“Semalam kami menerima surat daripada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi yang memaklumkan permohonan untuk melapangkan perbicaraan hari ini seperti yang diminta peguam Encik Najib dua hari lepas, telah dibenarkan.

“Mahkamah menetapkan 26 Ogos dan beberapa tarikh lain pada 2 Sep serta 21, 25 dan 28 Okt untuk meneruskan perbicaraan,” katanya.

Encik Najib, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dibuat terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan di hadapan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadap beliau, manakala Encik Arul Kanda, pula didakwa bersubahat dengan Encik Najib dalam membuat pindaan itu bagi melindungi Encik Najib daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.
Sumber : Bernama/SU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita