Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Perbicaraan bersejarah bagi kes pendakwaan Trump bermula hari ini

Perbicaraan bersejarah bagi kes pendakwaan terhadap Presiden Donald Trump bermula pada Khamis (16 Jan) di Dewan Senat Amerika Syarikat, dengan para penggubal dasar mengangkat sumpah untuk bersikap "tidak berat sebelah".

Anggaran Waktu Membaca:
Perbicaraan bersejarah bagi kes pendakwaan Trump bermula hari ini

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump. (Gambar: Brendan Smialowski/AFP)

Diterbitkan : 17 Jan 2020 08:52AM Dikemas Kini : 17 Jan 2020 08:58AM

WASHINGTON: Perbicaraan bersejarah bagi kes pendakwaan terhadap Presiden Donald Trump bermula pada Khamis (16 Jan) di Dewan Senat Amerika Syarikat, dengan para penggubal dasar mengangkat sumpah untuk bersikap "tidak berat sebelah" dalam menentukan sama ada presiden ke-45 Amerika itu wajar dipecat daripada jawatannya.

Awal sebelum itu, dalam satu detik simbolik, dua tuduhan - yang mendakwa Encik Trump menyalahgunakan kuasa dan cuba menghalang bidang kuasa Kongres - dibacakan di dewan Senat.

Sejak beberapa bulan yang lalu, Encik Trump sudah mempersendakan proses pendakwaan rasmi itu dan beliau sekali lagi melabelnya sebagai satu "muslihat".

"Saya rasa ia akan berakhir dengan pantas," kata beliau kepada para wartawan di pejabatnya.

"Ia sungguh berat sebelah," kata Encik Trump. "Saya terpaksa melalui muslihat ini yang didalangi Demokrat dalam percubaan mereka untuk memenangi pilihan raya."

Dewan yang dikuasai parti Demokrat pada 18 Disember lalu mengundi untuk mendakwa Encik Trump secara rasmi berhubung urusannya dengan Ukraine dan percubaannya untuk menyekat siasatan ke atas urusan tersebut.

Menurut undang-undang, Senat mesti mendapatkan dua pertiga undi majoriti untuk menyingkirkan seorang presiden dan ramai menjangkakan Encik Trump akan dilepaskan daripada tuduhan itu.

Encik Trump dituduh menyalahgunakan kuasa dengan menyekat bantuan ketenteraan kepada Ukraine dan mengadakan mesyuarat di Rumah Putih bagi presiden negara itu sebagai ganti kepada siasatan terhadap Joe Biden, iaitu anggota Demokrat yang mugkin bersaing dengannya dalam pilihan raya presiden.

Tuduhan kedua merujuk kepada percubaan untuk menyekat bidang kuasa Kongres - berhubung keengganan Encik Trump untuk menampilkan saksi-saksi dan dokumen-dokumen relevan kepada para penyiasat bagi kes pendakwaan itu.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan