Perbicaraan 4 suspek didakwa tembak jatuh pesawat MH17 bermula di Amsterdam
Perbicaraan terhadap empat lelaki yang didakwa menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 dijangka bermula di Amsterdam pada Isnin (9 Mac), lebih lima tahun setelah pesawat itu ditembak jatuh di Ukraine.
Serpihan bangkai pesawat Malaysia Airlines MH17, yang terhempas di Ukraine pada Julai 2014, dibina semula dan dipamerkan di Gilze Rijen, Belanda, pada 13 Oktober 2015. (Gambar: Michael Kooren/REUTERS)
AMSTERDAM: Perbicaraan terhadap empat lelaki yang didakwa menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 dijangka bermula di Amsterdam pada Isnin (9 Mac), lebih lima tahun setelah pesawat itu ditembak jatuh di Ukraine.
Pihak pendakwa berkata suspek-suspek berkenaan, tiga rakyat Rusia dan seorang rakyat Ukraine, membantu mengendalikan sistem peluru berpandu Rusia yang digunakan untuk menembak jatuh MH17, sebuah pesawat penumpang.
Suspek-suspek itu dipercayai berada di Rusia dan dijangka tidak akan menghadiri perbicaraan itu.
Pesawat MH17 sedang melakukan penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Jun 2014 apabila ia ditembak jatuh oleh sebuah peluru berpandu yang dilepaskan daripada sebuah wilayah yang dikuasai pemberontak pro-Moscow di tengah-tengah pertempuran di timur Ukraine.
Kesemua 298 anak kapal dan penumpang pesawat itu maut dalam kejadian tersebut.
Rusia bagaimanapun, menafikan sebarang penglibatan.
Semasa perbicaraan itu, hakim akan bermula dengan mengesahkan sama ada suspek-suspek itu sudah melantik peguam bela dan membentangkan jadual bagi meneruskan perbicaraan kes.
Pihak pendakwa menyatakan suspek-suspek itu berdepan tuduhan awal bagi pembunuhan 298 orang dan menyebabkan pesawat itu terhempas, mengakibatkan kematian kesemua penumpang dan anak kapalnya.
Jika didapati bersalah, mereka boleh dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.
Namun, Rusia tidak menyerah balik rakyatnya dan kerajaan Rusia menyoal asas undang-undang siasatan antarabangsa dan kebebasan mahkamah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.