Perbelanjaan ketenteraan global capai rekod tertinggi AS$2.24 trilion pada 2022
MOSKO: Perbelanjaan ketenteraan dunia meningkat sebanyak 3.7 peratus pada tahun lalu, sekali gus mencapai rekod tertinggi sebanyak AS$2.24 trilion (S$2.99 trilion).
Perbelanjaan terbesar membabitkan negara Amerika Syarikat (AS), China dan Rusia, menurut data terkini yang dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI) pada Isnin (24 Apr).
"Perbelanjaan ketenteraan dunia meningkat pada 2022, tahun kelapan berturut-turut. Setakat ini peningkatan paling mendadak dalam perbelanjaan (+13 peratus) ialah di Eropah," lapor Sputnik.
AS kekal sebagai negara yang paling banyak membelanjakan untuk ketenteraan iaitu mencecah AS$877 bilion (S$1.17 trilion) pada tahun lepas, mewakili 39 peratus daripada jumlah perbelanjaan ketenteraan global.
China di tempat kedua dengan perbelanjaan sebanyak AS$292 bilion (S$390 bilion) atau 4.2 peratus lebih berbanding pada tahun 2021, menurut SIPRI.
Perbelanjaan ketenteraan Rusia pula meningkat sebanyak dianggarkan 9.2 peratus iaitu kira-kira AS$86.4 bilion (S$115 bilion).
Sementara itu, perbelanjaan ketenteraan Ukraine menyaksikan peningkatan tahunan tertinggi yang pernah dicatatkan dalam data SIPRI, mencecah AS$44 bilion (S$59 bilion) pada tahun 2022 iaitu peningkatan sebanyak 640 peratus.
Bantuan kewangan ketenteraan AS kepada Ukraine berjumlah AS$19.9 bilion (S$27 bilion) merangkumi 2.3 peratus daripada jumlah perbelanjaan ketenteraan AS.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.