Perbarisan Hari Kemerdekaan M'sia jejas hampir 500 penerbangan
Hampir 500 penerbangan dijangka terjejas apabila Malaysia menutup ruang udara berhampiran lapangan terbang antarabangsa utama setiap pagi selama lima hari pada minggu depan.

Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang. (Gambar: AFP)
KUALA LUMPUR: Hampir 500 penerbangan dijangka terjejas apabila Malaysia menutup ruang udara berhampiran lapangan terbang antarabangsa utama setiap pagi selama lima hari pada minggu depan. Ini bagi melakukan persiapan bagi sambutan hari kemerdekaan negara itu, menurut kementerian pengangkutan.
Perbarisan Hari Kemerdekaan Malaysia, yang menampilkan persembahan aerobatik oleh angkatan udaranya, biasanya diadakan pada 31 Ogos di ibu kota Kuala Lumpur, sekitar 60 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan terminal penerbangan tambang murah KLIA2.
Bagaimanapun bagi tahun ini, perbarisan itu akan diadakan di Putrajaya, berdekatan dengan kedua-dua lapangan terbang itu, menurut kenyataan kementerian tersebut.
Sebanyak 498 penerbangan yang berlepas dan mendarat di kedua-dua lapangan terbang tersebut dijangka terjejas akibat penutupan itu, yang akan berlangsung dari 9.30 pagi hingga 10.30 pagi pada 27 Ogos hingga 31 Ogos.
"Penutupan tersebut... penting bagi memastikan kejayaan Perbarisan Hari Kemerdekaan 2018 dan keutamaannya adalah untuk memastikan keselamatan ruang udara dan pesawat-pesawat di KLIA/KLIA2," menurut kementerian itu.
Ia menyatakan bahawa penutupan tersebut mungkin melibatkan susunan tambahan yang boleh mengakibatkan beberapa penerbangan mengalami kelengahan.
Orang ramai dinasihati supaya menghubungi syarikat penerbangan dan pihak berkuasa lapangan terbang untuk mendapatkan maklumat dan jadual terkini, menurut kenyataan itu lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.