Skip to main content

Dunia

Peraturan masa depan dunia bergantung kepada medan perang Ukraine, kata Volodymyr Zelenskyy

Anggaran Waktu Membaca:
Peraturan masa depan dunia bergantung kepada medan perang Ukraine, kata Volodymyr Zelenskyy

Gambar: AFP/Roslan RAHMAN

Diterbitkan : 11 Jun 2022 08:34PM Dikemas Kini : 11 Jun 2022 08:36PM

SINGAPURA: Peraturan-peraturan masa hadapan dunia ditentukan berdasarkan medan perang Ukraine, kata Presiden Volodymyr Zelenskyy pada Sabtu (11 Jun).

Beliau memberi amaran bahawa pencerobohan Rusia mempunyai implikasi ke atas keamanan sejagat pada masa hadapan.

"Harap ingat bahawa sokongan dan perhatian ini bukan sahaja untuk Ukraine tetapi buat anda semua juga, bagi memastikan masa depan kami dan anda selamat," katanya semasa menyampaikan ucapan khas secara maya pada hari kedua Dialog Shangri-La di Singapura.

"Di medan perang Ukraine, peraturan masa depan dunia ini sedang diputuskan bersama dengan sempadan yang sesuai," katanya.

Encik Zelenskyy bercakap demikian, melalui seorang penterjemah, dari sebuah lokasi yang dirahsiakan di Kyiv sedang perang antara Rusia dengan Ukraine memasuki bulan keempat. 

Beliau berkata pada Selasa (7 Jun) bahawa Ukraine akan berjuang untuk menuntut semula semua wilayahnya yang diduduki oleh pasukan Rusia sambil menambah bahawa kebuntuan "bukanlah satu pilihan".

Ketika berucap kepada lebih 500 perwakilan dari 40 negara pada Sabtu, Encik Zelenskyy berkata perang itu bukan sahaja melibatkan Eropah tetapi juga membabitkan "perkara-perkara penting secara global".

"Kepimpinan Rusia berusaha untuk menghapuskan segala pencapaian sejarah pembangunan manusia sejagat, terutama sekali sistem undang-undang antarabangsa yang kita berpegang pada hari ini," katanya.

KESELAMATAN MAKANAN

Menjangkaui geopolitik, Encik Zelenskyy memberi amaran tentang kesan perang terhadap keselamatan makanan. Beliau berkata sekatan yang dikenakan Rusia sudah menghalang Ukraine daripada mengeksport "bahan makanan yang sangat diperlukan namun hilang di pasaran sejagat".

"Dunia akan menghadapi krisis makanan dan kebuluran yang teruk di banyak negara di Asia serta Afrika," tambahnya.

Perang tersebut juga, kata beliau, sudah menyumbang kepada kenaikan harga minyak dan menjejas rantaian bekalan di seluruh dunia sedang negara-negara bergelut dengan tekanan inflasi.

"Ancaman ini jelas disaksikan dengan hanya melihat harga yang melambung tinggi bagi produk-produk asas di pasaran dunia dan di negara-negara tertentu. Ini adalah akibat langsung daripada tindakan negara Rusia."
 

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita