Peraturan elak Jakarta tenggelam jejas kehidupan seharian
Pemerintah Jakarta telah mengisytiharkan zon-zon bebas air bawah tanah, dalam usaha mengelakkan ibu kota Indonesia itu daripada terus tenggelam.
Masjid Waladuna menjadi lambang kesan air laut yang semakin meningkat. (Gambar: Nivell Rayda/CNA)
JAKARTA: Pemerintah Jakarta telah mengisytiharkan zon-zon bebas air bawah tanah, dalam usaha mengelakkan ibu kota Indonesia itu daripada terus tenggelam.
Bulan lalu, pihak berkuasa mengeluarkan peraturan melarang bangunan-bangunan komersil daripada menyedut air bawah tanah di kawasan-kawasan yang sudah ada rangkaian bekalan air paip.
Namun BERITAmediacorp mendapati larangan tersebut juga akan menjejas kawasan perumahan, pada masa depan.
Masjid Waladuna di utara Jakarta telah terbiar hampir dua dekad.
Ia kini menjadi lambang kesan berkembar paras air laut yang semakin meningkat dan tanah yang semakin tenggelam.
Salah satu sebabnya adalah proses menyedut air dari bawah tanah untuk kegunaan komersil dan perumahan.
Encik Suratman, 64 tahun, telah menggunakan air dari bawah tanah untuk keperluan harian sejak 20 tahun lalu.
"Berguna sekali kalau buat air daripada kita cari jauh-jauh lebih baik di sini yang dekat," kata beliau.
Proses menggerudi tanah untuk mendapatkan air adalah satu proses yang rumit.
Para pekerja mengambil giliran untuk menggerudi tanah selama dua hari sebelum akhirnya menemukan sumber air.
Dulu permintaan untuk mendapatkan air dari bawah tanah lumayan tetapi kini amalan itu semakin tidak digalakkan.
Dalam pada itu, sudah tidak banyak lagi pam manual yang digunakan di Jakarta. Lebih banyak penduduk lebih memilih pam elektrik untuk mendapatkan air bawah tanah.
Bangunan komersil dan perusahaan merupakan para pengguna besar air dari bawah tanah di Jakarta.
Dan langkah-langkah untuk melarang perniagaan mendapatkan air dari bawah tanah oleh syarikat milik Jakarta, PAM Jaya akan dilaksanakan menjelang Ogos 2023.
"Di daerah tersebut jika dinyatakan zon-zon bebas air tanah tidak boleh lagi mengambil air tanah bahkan periginya akan kami tutup.
"Orang kadang-kadang kerana takut tidak terlayani mereka masih ada cadangan yang waktu-waktu misalnya kalau perlu boleh diambil itu pun tidak boleh akan kami tutup itu pengaturan yang paling ketatnya," kata Ketua Bahagian Perancangan Agensi Sumber Air Jakarta Elisabeth Tarigan.
Pihak berkuasa merancang untuk meluaskan zon bebas air dari bawah tanah ke kawasan perumahan juga.
Sekarang, terdapat 65 peratus penduduk bandar ada akses kepada air paip dan matlamatnya untuk meningkatkannya kepada 100 peratus menjelang 2030.
Para pakar berkata pihak berkuasa perlu jaminan akses kepada air sebelum penggunaan air dari bawah tanah dilarang.
Kajian menunjukkan jika dibiarkan, sehingga 28 peratus kota Jakarta akan berada di bawah paras air laut menjelang 2050 kerana masalah air laut yang meningkat akibat penggunaan air dari bawah tanah.
Ini menyebabkan pemerintah memutuskan untuk berpindah ibu kota ke Timur Kalimantan dengan harapan ia boleh meringankan beban masalah Jakarta yang semakin tenggelam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.