Perarakan besar-besaran di seluruh AS bantah keganasan anti-Asia
Dari New York hingga ke San Francisco, penduduk pelbagai warna kulit dan peringkat umur berhimpun di jalan raya di seluruh Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu, sebagai membantah peningkatan keganasan terhadap masyarakat Asia Amerika, lapor agensi berita Xinhua.
(Gambar: Bernama)
WASHINGTON: Dari New York hingga ke San Francisco, penduduk pelbagai warna kulit dan peringkat umur berhimpun di jalan raya di seluruh Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu, sebagai membantah peningkatan keganasan terhadap masyarakat Asia Amerika, lapor agensi berita Xinhua.
Tunjuk perasaan "National Day of Action" itu diadakan di puluhan bandar utama Amerika termasuk New York, Washington, San Francisco, Atlanta, Boston, Detroit, Honolulu, Philadelphia, Portland, Seattle dan Salt Lake City bagi melambangkan perpaduan terhadap masyarakat Asia
Di Chicago, lebih 1,000 penduduk pelbagai kaum berkumpul di Chinatown Square bagi membantah jenayah yang menyasarkan golongan berketurunan Asia ketika pandemik COVID-19 ini serta tragedi tembakan yang mengakibatkan lapan kematian di wilayah Atlanta, dengan enam daripadanya terdiri daripada wanita Asia.
Para penunjuk perasaan berarak ke Chinatown Square pada tengah hari sambil mengangkat sepanduk bertulis "Toleransi Sifar Terhadap Perkauman," "Henti Benci Asia," "Saya Berdiri Bersama Orang Asia," "Kami Bukan Virus, Diskriminasi Adalah Virus".
Pegawai tempatan dan ketua polis daerah, termasuk Presiden Lembaga Pesuruhjaya Daerah Cook, Toni Preckwinkle dan pesuruhjaya Illinois, Theresa Mah, turut menyertai mereka.
“Kami harap suara kami didengari ... Kami tidak boleh lagi berdiam diri," kata Pengarah Eksekutif Gabungan Masyarakat Amerika Cina Chicago, Grace Chan.
Di Koreatown, di pusat bandar Los Angeles, bunyi gendang dan nyanyian bergema di jalan raya ketika beratus-ratus penunjuk perasaan berarak dan mengangkat papan tanda bertulis "Henti Benci Orang Asia" dan "Cukuplah."
Pada perhimpunan itu, pemimpin masyarakat, ahli politik tempatan dan aktivis berkongsi pengalaman peribadi mereka menjadi mangsa buli dan kambing hitam, didiskriminasi serta diperlakukan seperti orang luar atau dilayan berbeza daripada rakyat Amerika yang lain, menurut laporan Los Angeles Times.
Banyak pihak bersuara menentang peningkatan jenayah kebencian yang mencetuskan kebimbangan masyarakat Asia Amerika dan Kepulauan Pasifik (AAPI) ketika pandemik dan menuntut pemerintah segera bertindak bagi menghentikan sengketa perkauman.
Menurut Stop AAPI Hate, sebuah pertubuhan sosial yang berpangkalan di California, pihaknya menerima hampir 3,800 aduan mengenai serangan atau penganiayaan terhadap masyarakat berketurunan Asia antara Mac 2020 dengan Februari 2021.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.