Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Perarakan Bendera Israel cetus kemarahan dan kutukan warga Palestin

Anggaran Waktu Membaca:
BAITULMAKDIS: Perarakan Bendera oleh nasionalis Israel di Baitulmakdis pada Khamis (18 Mei) mencetuskan kemarahan dan kutukan daripada warga dan pihak berkuasa Palestin.

Demikian dilaporkan oleh Xinhua.

Nabil Abu Rudeineh, jurucakap presiden Palestin memberitahu wartawan di Ramallah, Tebing Barat, bahawa "Baitulmakdis adalah dan akan menjadi ibu kota Palestin yang merdeka."

Pada petang Khamis, puluhan ribu rakyat Israel menyertai perarakan untuk menyambut "Penyatuan Baitulmakdis" sedang langkah keselamatan diperketat oleh Israel.

Para peserta mengibarkan bendera Israel dan melaungkan cogan kata antiPalestin sedang mereka berarak dari kawasan barat bandar itu, melalui bahagian Islam di Kota Lama, sehingga Tembok Ratapan di Masjidil Aqsa.

Encik Abu Rudeineh menganggap pemerintah Israel "bertanggungjawab sepenuhnya atas kejadian tersebut dan kesannya, yang akan menyebabkan keadaan dan ketegangan bertambah buruk, bukan sahaja di Baitulmakdis, tapi di seluruh rantau itu."

Agensi rasmi akhbar Palestin (WAFA) melaporkan bahawa para peserta Israel yang berarak "dilindungi pegawai polis Israel, menyerang rakyat Palestin di kota lama Baitulmakdis."

Laporan itu menambah bahawa polis Israel menangkap 10 rakyat Palestin atas sebab menyekat salah satu jalan di bandar tersebut supaya dapat menghalang perarakan tersebut.

Pada pagi Khamis, pihak Israel mengerahkan lebih 3,000 pegawai polis di seluruh bandar Baitulmakdis untuk melindungi perarakan itu, lapor Israel Radio.

Di Carikan Gaza, ratusan warga Palestin mengadakan tunjuk perasaan berdekatan pagar di sempadan antara timur Carikan Gaza dengan Israel untuk menolak perarakan bendera Israel.

Mereka mengibarkan bendera Palestin dan melaungkan cogan kata antiIsrael sambil membakar tayar dan menggantung puluhan bendera Palestin di pagar di sempadan itu menurut beberapa saksi.

Paramedik Palestin berkata bahawa tujuh penunjuk perasaan Palestin cedera, dan puluhan lagi mengalami masalah penafasan selepas menghidu gas pemedih mata dilepaskan oleh tentera Israel yang dikerahkan di sempadan itu.

Para nasionalis Israel mengadakan Perarakan Bendera setiap tahun untuk menyambut "Hari Baitulmakdis".
 
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan