Skip to main content

Dunia

PERANG TIMUR TENGAH: Turki, Qatar, Pakistan, Indonesia meterai perjanjian pertahanan

Anggaran Waktu Membaca:
 PERANG TIMUR TENGAH: Turki, Qatar, Pakistan, Indonesia meterai perjanjian pertahanan

Turki, Qatar, Pakistan dan Indonesia menandatangani perjanjian pada Rabu bagi meningkatkan kerjasama pertahanan dan memperkukuh keupayaan ketenteraan masing-masing, di Riyadh, Arab Saudi, pada 5 Oktober 2026. (Gambar: Reuters/Saudi Press Agency)

Diterbitkan : 22 Oct 2026 11:49AM Dikemas Kini : 22 Oct 2026 12:19PM
Turkey, Qatar, Pakistan and Indonesia sign defence agreement: Ankara
  • Turkey, Qatar, Pakistan and Indonesia signed the Badr MOU in Doha on Wednesday, 21 October, to strengthen defence cooperation; the year was not specified.
  • The agreement covers joint production of equipment, technology sharing, technical training, and research and development, drawing on each country’s expertise.
  • Turkey’s Ministry of Defence said the cooperation also has economic value, strengthens the defence industry and helps meet the needs of allied and friendly countries.
  • Haluk Gorgun hoped the MOU would lead to tangible defence projects and develop skilled workers and industrial infrastructure; Turkey is also helping Gulf countries strengthen their defences during the war with Iran.
Dijana oleh AI

ANKARA: Turki, Qatar, Pakistan dan Indonesia pada Rabu (21 Okt) menandatangani satu perjanjian bagi meningkatkan kerjasama pertahanan dan memperkukuhkan keupayaan ketenteraan masing-masing.

Kementerian Pertahanan Turki dalam satu kenyataan menyatakan keempat-empat negara itu menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Badr di Doha sebagai tanda komitmen mereka untuk mempereratkan kerjasama dan membangunkan hubungan perkongsian.

Menurut kementerian itu, perjanjian tersebut juga mempunyai kepentingan ekonomi yang besar.

Ia bertujuan menggalakkan kerjasama dalam pengeluaran kelengkapan ketenteraan, meningkatkan keupayaan pertahanan serta memperkukuh kerjasama dalam latihan teknikal ketenteraan, penyelidikan dan pembangunan.

"Dengan memanfaatkan keupayaan unik setiap negara dalam pengeluaran kelengkapan ketenteraan, inisiatif ini akan memudahkan kerjasama dan penyelarasan, memperkukuh industri pertahanan serta membantu memenuhi keperluan negara-negara sekutu dan sahabat," menurut kenyataan itu.

Turki, yang mempunyai angkatan tentera kedua terbesar dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) serta industri pertahanan yang kukuh, sedang membantu negara-negara Teluk mempertingkatkan keupayaan pertahanan mereka di tengah-tengah perang dengan Iran.

Ini termasuk Qatar, tempat di mana Turki mempunyai sebuah pangkalan tentera.

Pada Ogos lalu, Turki turut menandatangani perjanjian pertahanan bersama Pakistan, yang memiliki senjata nuklear, dengan Arab Saudi.

Di bawah perjanjian itu, sebarang serangan terhadap salah satu negara akan dianggap sebagai serangan terhadap semua negara yang terlibat.

Ankara juga mempunyai hubungan rapat dengan Indonesia, khususnya dalam bidang industri pertahanan.

Kementerian Pertahanan Turki menyatakan perjanjian Badr akan mengeratkan hubungan antara industri pertahanan keempat-empat negara dan meningkatkan kerjasama bagi memperkukuh keselamatan serta mencapai matlamat bersama.

Pengerusi Agensi Industri Pertahanan Turki, Haluk Gorgun, berkata perjanjian itu menjadi asas kepada "kerjasama strategik" dalam membangunkan teknologi dan menghasilkan kelengkapan pertahanan secara bersama.

"Perkongsian teknologi, pembangunan bersama dan usaha memperkukuh keupayaan pengeluaran dalam negara merupakan asas penting bagi membangunkan industri pertahanan yang mampan.

"Turki menghargai kerjasama yang bukan sekadar melibatkan pembelian kelengkapan pertahanan, tetapi turut membantu sesebuah negara membangunkan tenaga kerja mahir dan prasarana industrinya sendiri," kata Encik Gorgun dalam satu kenyataan.

Beliau turut berharap MOU Badr akan membolehkan Turki, Qatar, Pakistan dan Indonesia menggabungkan kekuatan serta kepakaran masing-masing untuk melaksanakan projek-projek pertahanan yang nyata.

"Kami percaya Memorandum Persefahaman Badr akan membantu mengubah keupayaan yang saling melengkapi antara Qatar, Pakistan, Indonesia dan Turki menjadi projek-projek yang dapat dilaksanakan," tambah beliau.

Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita