PERANG TIMUR TENGAH: Trump sokong usaha pemimpin Iraq perkukuh kuasa pemerintah
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Jumaat (27 Nov) menyatakan sokongannya terhadap usaha pemimpin Iraq untuk mengukuhkan kuasa pemerintah negara itu, termasuk membanteras penyeludupan minyak Iraq.
Penduduk Kurdi di Iraq mengadakan tunjuk perasaan di Erbil, Iraq, pada 26 November 2026. (Gambar: Reuters/Azad Lashkari)
- On Friday, 27 November, US President Donald Trump backed Iraqi Prime Minister Ali al-Zaidi in his efforts to strengthen the Government’s authority, combat oil smuggling and corruption, and ensure that weapons are under state control.
- Spokesman Haider al-Aboudi said exports outside SOMO channels were considered smuggling; Iraq estimates losses of US$100 billion in Kurdistan from 2008 to 2025 as the country seeks to attract foreign investment.
- After a court authorised federal forces to guard the border, Baghdad closed crossings with Syria and Iran and took steps to control oilfields, prompting protests from Kurdish residents and tensions with the regional Government.
- Zaidi also ordered action against Kataib Hezbollah over allegations of smuggling in Jurf al-Sakhar; the group later allowed the army to enter, but analysts expect implementing the changes to remain difficult.
- Pada Jumaat, 27 November, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyokong Perdana Menteri Iraq Ali al-Zaidi memperkukuh kuasa pemerintah, membanteras penyeludupan minyak dan rasuah serta memastikan senjata dikawal negara.
- Jurucakap Haider al-Aboudi berkata eksport di luar saluran SOMO dianggap penyeludupan; Iraq menganggarkan kerugian AS$100 bilion di Kurdistan dari 2008 hingga 2025, ketika negara berusaha menarik pelaburan asing.
- Selepas mahkamah membenarkan pasukan persekutuan menjaga sempadan, Baghdad menutup lintasan dengan Syria dan Iran serta mengambil langkah mengawal medan minyak, mencetuskan bantahan penduduk Kurdi dan ketegangan dengan pemerintah wilayah.
- Zaidi turut mengarahkan tindakan terhadap Kataib Hezbollah berhubung dakwaan penyeludupan di Jurf al-Sakhar; kumpulan itu kemudian membenarkan tentera masuk, namun penganalisis menjangka pelaksanaan perubahan masih sukar.
DUBAI/BENGALURU: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Jumaat (27 Nov) menyatakan sokongannya terhadap usaha pemimpin Iraq untuk mengukuhkan kuasa pemerintah negara itu, termasuk membanteras penyeludupan minyak Iraq. Langkah-langkah tersebut meletakkan Baghdad dalam kedudukan bertentangan secara langsung dengan kumpulan militia yang bersekutu dengan Iran serta pihak berkuasa Kurdi.
"Kami menyokong usaha Perdana Menteri Iraq Ali al-Zaidi untuk mengukuhkan kuasa pemerintah di seluruh Iraq, menghentikan penyeludupan minyak Iraq, membanteras rasuah dan memastikan semua senjata berada di bawah kawalan eksklusif pemerintah," kata Encik Trump dalam satu catatan di Truth Social.
Catatan tersebut dibuat tidak lama selepas jurucakap pemerintah Iraq Haider al-Aboudi berkata Baghdad menganggap eksport minyak mentah yang tidak melalui syarikat pemasaran minyak negara SOMO sebagai kegiatan penyeludupan kerana hasil jualannya tidak disalurkan kepada perbendaharaan negara, lapor agensi berita negara itu.
Dalam temu bual bersama agensi berita negara Iraq, Encik Aboudi menambah bahawa Iraq dianggarkan mengalami kerugian sebanyak AS$100 bilion (S$129.03 bilion) akibat penyeludupan minyak menerusi wilayah Kurdistan antara 2008 dengan 2025.
Ia tidak jelas bagaimana pemerintah Iraq memperoleh angka tersebut.
Iraq berharap untuk menarik pelaburan asing secara besar-besaran bagi merangsang ekonominya yang sering berdepan kesukaran.
Iraq pada Khamis menutup dua pintu lintasan sempadan di wilayah Kurdistan, masing-masing dengan Syria dan Iran. Langkah tersebut diambil selepas Encik Zaidi mengarahkan pihak berkuasa persekutuan untuk mengambil alih kawalan pintu lintasan sempadan yang dikendalikan pentadbiran wilayah separa autonomi tersebut.
Ribuan penduduk Kurdi mengadakan tunjuk perasaan pada Khamis berhubung langkah Encik Zaidi meletakkan medan-medan minyak di bawah kawalan pemerintah persekutuan, selain mengerahkan tentera persekutuan di sepanjang sempadan antarabangsa wilayah tersebut.
KUMPULAN BERSENJATA SEMAKIN BERKUASA
Langkah terhadap masyarakat Kurdi itu diambil hanya seminggu selepas Encik Zaidi mengarahkan tindakan terhadap Kataib Hezbollah, sebuah kumpulan militia Syiah yang memiliki persenjataan berat dan bersekutu dengan Iran.
Langkah itu mencetuskan pertentangan antara Encik Zaidi dengan dua puak utama di Iraq. Kumpulan-kumpulan bersenjata di negara itu semakin berpengaruh selepas berdekad-dekad dilanda perang saudara yang berpunca daripada perpecahan etnik dan mazhab.
Kedua-dua tindakan tegas tersebut dikaitkan dengan sindiket yang disyaki terlibat dalam penyeludupan minyak.
"Kami sedang berhubung dengan wilayah Kurdistan bagi memastikan kekayaan sumber minyak kami diurus dan dipelihara sebaik mungkin. Medan-medan minyak di wilayah itu dan Basra adalah milik seluruh rakyat Iraq dan kekal di bawah bendera Iraq," kata Menteri Minyak Iraq Basim Mohammed dalam satu sidang media.
Mahkamah tertinggi Iraq pada Rabu memutuskan bahawa Baghdad boleh mengerahkan pasukan keselamatan persekutuan di sepanjang semua sempadan antarabangsa negara tersebut, termasuk di wilayah Kurdistan.
Keputusan mahkamah itu dilihat sebagai satu kemenangan bagi Encik Zaidi, seorang ahli perniagaan berusia 41 tahun yang memiliki kekayaan bernilai jutaan dolar dan masih baharu dalam arena politik. Beliau naik ke tampuk kekuasaan hasil satu kompromi politik hanya enam bulan lalu.
Bagaimanapun, para penganalisis politik berkata pelaksanaan langkah-langkah yang mencabar kepentingan pihak-pihak yang sudah lama bertapak mungkin masih sukar untuk dilakukan.
Hubungan antara Baghdad dengan masyarakat Kurdi sering menjadi tegang disebabkan oleh penguasaan sumber minyak, kewangan, wilayah dan perdagangan.
Pemerintah pusat sebelum ini bertindak menggunakan kekerasan apabila Kurdistan mengadakan pungutan suara mengenai kemerdekaan pada 2017. Namun, hubungan kedua-dua pihak semakin reda sejak kebelakangan ini.
Pemerintah Wilayah Kurdistan pada Rabu menolak apa yang disifatkannya sebagai "bahasa ketenteraan dan ugutan" dalam kenyataan jurucakap tentera Iraq ketika mengumumkan langkah-langkah baharu tersebut.
Pemerintah wilayah tersebut menyatakan bahawa ia sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa persekutuan untuk membanteras rasuah. Ia turut menggesa supaya kegiatan penyeludupan minyak dihentikan di seluruh Iraq.
Iraq merupakan antara pengeluar minyak utama dunia dan merupakan sekutu Amerika Syarikat serta Iran.
Dalam satu lagi pertikaian utama yang dihadapi Encik Zaidi, perdana menteri itu minggu lalu mengarahkan tentera supaya bersiap sedia untuk memasuki Jurf al-Sakhar, di selatan Baghdad. Pemerintah Iraq mendakwa Kataib Hezbollah menjalankan kegiatan penyeludupan di kawasan tersebut. Kumpulan itu pada mulanya enggan akur, namun kemudiannya bersetuju untuk membenarkan pihak tentera memasuki bandar tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.