Skip to main content

Dunia

Perang Timur Tengah ‘tidak sepatutnya berlaku’, kata diplomat tertinggi China

Diplomat tertinggi China pada Ahad (8 Mac) mengecam perang di Timur Tengah, sambil mengatakan bahawa ia “tidak sepatutnya berlaku” dan sekali lagi menggesa supaya permusuhan dihentikan dengan segera.
Anggaran Waktu Membaca:
Perang Timur Tengah ‘tidak sepatutnya berlaku’, kata diplomat tertinggi China
Menteri Luar China Wang Yi bercakap pada sidang media di luar Kongres Rakyat Kebangsaan di Beijing, China, pada 8 Mac 2026. (Gambar: CNA/Hu Chushi)
Diterbitkan : 08 Mar 2026 02:25PM
  • Encik Wang Yi, diplomat tertinggi China, mengecam perang di Timur Tengah dan menegaskan ia tidak menguntungkan mana-mana pihak.
  • China menggesa agar operasi ketenteraan dihentikan segera, menolak kekerasan dan menyeru dialog politik sebagai penyelesaian.
  • Sidang media berlangsung di Beijing pada 8 Mac, dengan latar konflik antara Amerika Syarikat, Israel, Iran dan Hezbollah di rantau Timur Tengah.
  • China menekankan pentingnya menghormati kedaulatan negara dan bekerjasama dengan negara Timur Tengah untuk memulihkan aturan serta keamanan.
Dijana oleh AI
BEIJING: Diplomat tertinggi China pada Ahad (8 Mac) mengecam perang di Timur Tengah, sambil mengatakan bahawa ia “tidak sepatutnya berlaku” dan sekali lagi menggesa supaya permusuhan dihentikan dengan segera.

Bercakap dalam sidang media yang meliputi pelbagai isu di luar Mesyuarat Dua Sesi China, Encik Wang Yi menggambarkan bagaimana rantau itu kini “dijilat api”.

“Ini adalah perang yang sepatutnya tidak berlaku – dan ia adalah perang yang tidak menguntungkan mana-mana pihak,” kata Encik Wang, yang merupakan menteri luar China serta diplomat tertinggi negara itu menerusi peranan serentaknya sebagai ketua Suruhanjaya Hal Ehwal Luar Pusat Parti Komunis.

Konflik itu tercetus pada 28 Februari apabila Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran. Tehran bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas Israel serta kepentingan-kepentingan Amerika Syarikat di negara-negara berhampiran, terutamanya di Teluk.

Israel juga melancarkan serangan baharu di Lubnan selepas kumpulan bersenjata Hezbollah yang bersekutu dengan Iran melepaskan roket dan dron merentasi sempadan.

Beijing sebelum ini mengutuk tindakan ketenteraan Amerika Syarikat dan Israel di Iran, yang mempunyai hubungan diplomatik serta perdagangan dengannya, selain mengecam pembunuhan Pemimpin Tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei.

Encik Wang mengulangi pendirian itu pada Ahad sambil menggesa agar pertempuran dihentikan segera.

“Menentang kekuatan dengan kekuatan hanya akan melahirkan kebencian baharu dan menyemai benih-benih bagi krisis baharu,” kata beliau.

“China sekali lagi menyeru agar operasi ketenteraan dihentikan dengan serta-merta, bagi mengelakkan keadaan daripada terus memuncak dan bagi mengelakkan konflik itu daripada melimpah dan merebak,” kata Encik Wang, sambil menambah bahawa China bersedia untuk bekerjasama dengan negara-negara Timur Tengah untuk “memulihkan aturan” di rantau tersebut.

Encik Wang juga menggesa penyelesaian yang “betul dan wajar” bagi meredakan ketegangan melibatkan Iran dan Timur Tengah. Ini termasuk menghormati kedaulatan negara, menolak penyalahgunaan kekerasan, tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman sesebuah negara serta kembali kepada dialog politik berbanding penggunaan kuasa ketenteraan.

“Kedaulatan adalah asas kepada aturan antarabangsa semasa. Kami percaya bahawa kedaulatan, keselamatan dan keutuhan wilayah Iran serta semua negara di rantau Teluk harus dihormati dan tidak boleh dicabuli,” kata diplomat berpengalaman itu.

Beliau juga menolak penyalahgunaan kekerasan sambil menegaskan bahawa “kekuatan tidak menjadikan sesuatu itu benar” dan bahawa “undang-undang rimba tidak boleh kembali menguasai dunia”.

“Penggunaan kekerasan secara sewenang-wenangnya tidak membuktikan kekuatan seseorang.”

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sebelum ini mendakwa beliau berhak untuk menyertai Iran dalam menentukan pemimpin seterusnya bagi negara tersebut. Selain itu, Encik Trump pada Jumaat menuntut Iran untuk menyerah diri tanpa syarat, beberapa jam selepas presiden Iran mengumumkan bahawa beberapa negara yang tidak dinamakan sudah memulakan usaha perantaraan.

Dalam sidang media pada Ahad, Encik Wang menegaskan bahawa rakyat Timur Tengah adalah “tuan sebenar rantau tersebut” dan bahawa urusan Timur Tengah harus “ditentukan oleh negara-negara di rantau tersebut secara bebas”.

“Merancang revolusi untuk menjatuhkan pemerintah atau usaha untuk menukar rejim tidak akan mendapat sokongan rakyat,” tambah beliau.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita