Skip to main content

Dunia

PERANG TIMUR TENGAH: Perjanjian diplomatik dengan Iran mungkin sukar dicapai, kata Rubio

Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio pada Ahad (8 Nov) membayangkan bahawa perjanjian diplomatik dengan Iran mungkin tidak dapat dicapai.

Anggaran Waktu Membaca:
PERANG TIMUR TENGAH: Perjanjian diplomatik dengan Iran mungkin sukar dicapai, kata Rubio

Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio bercakap kepada media sebelum berlepas ke Paris bagi menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri Luar G7, di Homestead, Florida, pada 8 November 2026. (Gambar: AP)

Diterbitkan : 09 Nov 2026 11:38AM
MIDDLE EAST WAR: Diplomatic agreement with Iran may be difficult to reach, Rubio says
  • US Secretary of State Marco Rubio said on Sunday, Nov 8, that an agreement with Iran was not close because Tehran’s demands were considered unrealistic, although Washington remained open to diplomacy.
  • He made the statement before travelling to Paris for a meeting of G7 foreign ministers, which was scheduled to discuss the war that began after US and Israeli attacks on Feb 28.
  • An April ceasefire and a June peace memorandum have not produced a final settlement, while limited US attacks on Qeshm Island took place in recent days.
  • Rubio defended President Donald Trump’s approach and said efforts to prevent Iran from obtaining nuclear weapons remained a priority; further action would depend on threats to US forces or shipping.
Dijana oleh AI

WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio pada Ahad (8 Nov) membayangkan bahawa perjanjian diplomatik dengan Iran mungkin tidak dapat dicapai. 

Beliau turut menuduh Tehran mengemukakan tuntutan yang tidak realistik dan memberi amaran bahawa masih banyak yang perlu dirundingkan bagi mencapai kata sepakat, lapor Anadolu Ajansi.

"Beberapa negara masih berhubung dengan mereka dan mengemukakan pelbagai cadangan, tetapi saya tidak akan mengatakan bahawa kita hampir mencapai kejayaan dalam rundingan. 

"Presiden sentiasa mengutamakan penyelesaian secara diplomatik bagi isu ini dan setiap masalah lain. Malangnya, ada kalanya perkara itu tidak dapat dilakukan," kata Encik Rubio kepada pemberita sebelum berlepas ke Paris bagi menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri Luar Kumpulan Tujuh (G7).

Encik Rubio berkata Washington masih bersedia untuk meneroka peluang diplomatik, namun menyifatkan rundingan tersebut sebagai tidak membuahkan hasil dan tuntutan Iran sebagai "melampau dan tidak masuk akal" serta tidak realistik.

Mempertahankan pendekatan Presiden Donald Trump dalam menangani perang dengan Iran yang kini memasuki bulan kesembilan, Encik Rubio berhujah bahawa Encik Trump berdepan dengan ancaman berpanjangan terhadap keselamatan negara Amerika Syarikat meskipun tindakan tersebut berpotensi membawa kesan politik.

Beliau berkata usaha menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear perlu kekal sebagai keutamaan yang mendapat sokongan kedua-dua parti politik utama Amerika Syarikat.

Kenyataan itu dibuat menjelang mesyuarat Menteri-Menteri Luar G7 di Paris pada Isnin dan Selasa, dengan perang Iran dijangka menjadi antara isu yang dibincangkan.

Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ketenteraan terhadap Iran pada 28 Februari. 

Gencatan senjata dicapai pada April, disusuli memorandum pada Jun yang bertujuan mencapai perjanjian damai, namun rundingan setakat ini gagal menghasilkan penyelesaian muktamad.

Kenyataan Encik Rubio itu menyusuli serangan terhad Amerika Syarikat ke atas Pulau Qeshm milik Iran di Selat Hormuz sejak beberapa hari kebelakangan ini, dengan Encik Trump pada Jumaat mengesahkan bahawa tentera Amerika Syarikat menyasarkan sistem pertahanan udara Iran.

Mengenai keadaan yang mungkin mendorong Washington melancarkan serangan ketenteraan selanjutnya, Encik Rubio menegaskan bahawa tindakan Amerika Syarikat adalah untuk mempertahankan diri dan bergantung kepada ancaman terhadap tenteranya atau lalu lintas maritim.

"Amerika Syarikat bertindak untuk mempertahankan diri. Jika terdapat ancaman terhadap tentera kami di rantau ini, kami akan bertindak menanganinya. 

"Jika terdapat ancaman terhadap perkapalan, kami telah sekian lama mempertahankan keselamatannya. 

"Jadi, jika terdapat ancaman yang jelas dan serta-merta terhadap perkapalan atau tentera kami di rantau ini, kami mempunyai hak untuk mempertahankan diri," kata beliau.

Encik Rubio berkata sebarang tindakan sedemikian bergantung kepada tahap ancaman dan sama ada tentera Iran sedang melancarkan serangan atau berkemungkinan sedang bersiap sedia untuk menyerang kepentingan Amerika Syarikat.

Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita