Skip to main content

Dunia

PERANG TIMUR TENGAH: Musim puncak ibadah umrah berisiko tergendala

Anggaran Waktu Membaca:
PERANG TIMUR TENGAH: Musim puncak ibadah umrah berisiko tergendala

Syarikat pengendali umrah menegaskan keselamatan jemaah sentiasa menjadi keutamaan berbanding aspek komersil, khususnya dalam tempoh permintaan tinggi ketika ini. (Gambar fail)

Diterbitkan : 14 Oct 2026 07:19AM
Middle East war: Peak umrah season at risk of disruption
  • Houthi drone and missile attacks in Saudi Arabia, including at Riyadh airport since Oct 10, have posed challenges to the entry of umrah pilgrims.
  • Mohammed Wafiyuddin Mustakim Safawi said October is the peak umrah season, but Ikhlas.com operations are still continuing, including the departure of 80 pilgrims on Tuesday.
  • Ikhlas.com said pilgrims' safety is the priority, that it is prepared to comply if the government or AirAsia X decides to postpone flights, and that it will inform pilgrims immediately.
  • The agency has stepped up monitoring and coordination with hotels and airlines, while its nearly 1,000 pilgrims in Makkah and Madinah have been reported safe.
Dijana oleh AI

KUALA LUMPUR: Serangan dron dan peluru berpandu oleh kumpulan Houthi di Arab Saudi ketika ini memberi cabaran kepada kemasukan jemaah ke Tanah Suci, terutamanya sewaktu musim puncak menjelang Oktober.

Ketua Jabatan Komersil Ikhlas Travel and Umrah Sdn Bhd, Mohammed Wafiyuddin Mustakim Safawi berkata, siri serangan di Lapangan Terbang Riyadh bermula 10 Oktober lalu memberi kesan kepada operasi syarikat pengendali umrah.

Menurut beliau, Oktober merupakan tempoh sibuk bagi ejen umrah apabila jemaah mengambil peluang menunaikan ibadah berkenaan sebelum bermula Ramadan awal tahun depan.

“Bulan 10 (Oktober) dah bermula, iaitu kita panggil 'peak season' untuk perjalanan umrah. Sekarang kita perlu bersiap siaga untuk memastikan operasi kami berada dalam keadaan yang terbaik.

“Berlakunya perkara seperti letupan di Riyadh ini secara tidak langsung mengganggu sedikit perjalanan operasi kami,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa (13 Okt).

Mengulas lanjut, Encik Wafiyuddin berkata operasi syarikat pengusaha umrah, Ikhlas.com setakat ini masih berjalan seperti biasa, termasuk keberangkatan 80 jemaah pada Selasa.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pihaknya bersedia mematuhi sebarang arahan kerajaan berhubung penangguhan penerbangan sekiranya keadaan semasa memerlukan langkah itu diambil.

Menurutnya lagi, keselamatan jemaah sentiasa menjadi keutamaan syarikat berbanding aspek komersial, khususnya dalam tempoh permintaan tinggi ketika ini.

“Pihak kami sentiasa memberi fokus dan komitmen bahawa jika ada sebarang keputusan daripada pihak kerajaan selepas ini, pihak kami akan akur jika berlakunya penangguhan (penerbangan).

“Jika berlaku penangguhan penerbangan daripada pihak AirAsia X (rakan operasi), pihak kami juga akan memaklumkan perkara ini secepat mungkin kepada para jemaah kami,” katanya.

Dalam pada itu, pasukan operasi Ikhlas.com meningkatkan pemantauan terhadap perkembangan semasa di Arab Saudi bagi memastikan kelancaran perjalanan jemaah serta penyelarasan dengan pihak berkaitan.

Langkah itu turut merangkumi kerjasama dengan pihak hotel di Makkah dan Madinah serta syarikat penerbangan bagi menghadapi kemungkinan perubahan pada jadual perjalanan.

Setakat ini, hampir 1,000 jemaah di bawah kendalian agensi itu dilaporkan selamat di Makkah dan Madinah, tanpa sebarang gangguan terhadap aktiviti ibadah dan ziarah mereka.

Sebelum ini, Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) menyarankan rakyat Malaysia menangguhkan sementara perancangan perjalanan ke Arab Saudi menyusuli perkembangan geopolitik dan keselamatan di rantau berkenaan.

Sumber : Agensi berita/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita