Skip to main content

Dunia

PERANG TIMUR TENGAH: Iran kecualikan kapal India, China, Iraq dan Qatar daripada sekatan transit Selat Hormuz

Iran mengecualikan kapal dari India, China, Iraq dan Qatar daripada sekatan transit di Selat Hormuz, ketika ketegangan akibat perang di Timur Tengah masih berterusan.

Anggaran Waktu Membaca:
PERANG TIMUR TENGAH: Iran kecualikan kapal India, China, Iraq dan Qatar daripada sekatan transit Selat Hormuz

Kapal yang melalui Selat Hormuz, laluan perkapalan strategik antara Iran dengan Oman. (Gambar fail: REUTERS)

Diterbitkan : 04 Nov 2026 11:51AM
MIDDLE EAST WAR: Iran exempts ships from India, China, Iraq and Qatar from Strait of Hormuz transit restrictions
  • Iran, through Amir Hayat Moqaddam, announced that ships from India, China, Iraq and Qatar were exempt from transit restrictions in the Strait of Hormuz, a route between Iran and Oman.
  • The statement to ISNA on Nov 3 said ships from those countries could pass without being intercepted by the United States, as regional tensions continued.
  • India’s exemption was linked to Iran’s need to import medicines, while the treatment of China was aimed at securing political support; both countries were still charged transit fees.
  • Qatari ships passed through without charge, but it was not stated whether Iraq was charged. The strait is important for Gulf energy exports and has been a focus since the conflict, the April ceasefire and renewed fighting in July.
Dijana oleh AI

ISTANBUL: Iran mengecualikan kapal dari India, China, Iraq dan Qatar daripada sekatan transit di Selat Hormuz, ketika ketegangan akibat perang di Timur Tengah masih berterusan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negara dan Dasar Luar Parlimen Iran, Amir Hayat Moqaddam, berkata kapal dari 4 negara itu dibenarkan melalui laluan perkapalan strategik tersebut tanpa dikenakan sekatan transit.

Beliau berkata demikian kepada Agensi Berita Pelajar Iran (ISNA) pada Selasa (3 Nov).

Encik Hayat Moqaddam turut mendakwa kapal dari negara-negara berkenaan boleh melalui Selat Hormuz tanpa dipintas oleh Amerika Syarikat.

Beliau berkata pengecualian tersebut dibuat berdasarkan kepentingan bersama antara Iran dengan negara-negara terbabit.

INDIA, CHINA DIKENAKAN YURAN TRANSIT

Encik Hayat Moqaddam berkata Iran membenarkan kapal India melalui Selat Hormuz bagi memudahkan Tehran mengimport ubat-ubatan dari negara itu.

Pengecualian terhadap kapal China pula bertujuan mendapatkan sokongan politik Beijing.

Bagaimanapun, Iran masih mengenakan yuran transit terhadap kapal India dan China, meskipun kedua-duanya dikecualikan daripada sekatan laluan.

Kapal Qatar pula dibenarkan melalui selat itu tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Encik Hayat Moqaddam tidak menjelaskan sama ada kapal Iraq turut perlu membayar yuran transit.

SELAT HORMUZ LALUAN PENTING BEKALAN TENAGA DUNIA

Selat Hormuz, yang terletak di antara Iran dengan Oman, merupakan antara laluan perkapalan terpenting dunia.

Sejumlah besar bekalan minyak dan gas dari negara-negara Teluk diangkut melalui selat itu untuk dieksport ke pasaran antarabangsa.

Laluan tersebut menjadi tumpuan sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Februari lalu.

Meskipun gencatan senjata dicapai pada April, pertempuran antara Amerika dengan Iran bersambung semula pada Julai selepas usaha diplomatik untuk menamatkan konflik tersebut tergendala.

Sumber : Bernama/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita