Skip to main content

Dunia

PERANG TIMUR TENGAH: Iran, Amerika masih jauh daripada capai persetujuan tamatkan perang

Iran dan Amerika Syarikat masih jauh daripada mencapai persetujuan untuk menamatkan perang antara kedua-dua negara, meskipun Qatar mempergiat usaha pengantaraan bagi merapatkan perbezaan pendirian.

Anggaran Waktu Membaca:
PERANG TIMUR TENGAH: Iran, Amerika masih jauh daripada capai persetujuan tamatkan perang

Seorang anggota Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) di sebuah pusat latihan ketenteraan untuk orang awam di Dataran Tajrish, Tehran, pada Isnin (2 Nov 2026). (Gambar: REUTERS/Majid Asgaripour/WANA)

Diterbitkan : 04 Nov 2026 08:53AM
MIDDLE EAST WAR: Iran and US still far from reaching agreement to end war
  • Iran and the United States have yet to reach an agreement to end the war, despite Qatar stepping up its mediation efforts. A draft discussed over the past eight days is still under review following the mediator’s visit to Tehran on Nov 2.
  • Tehran is demanding that oil and maritime restrictions be lifted and frozen funds released before the Strait of Hormuz is opened, while Mohsen Rezaei described Washington’s response as unconvincing and said nuclear talks would have to wait until Iran’s conditions were met.
  • On Nov 2, the United States attacked missile targets on Qeshm Island in an action described as defensive, while Donald Trump hinted at possible military action. Iran warned it would retaliate, and the IRGC claimed to have shot down a US drone.
  • Qatar is continuing its diplomatic efforts to prevent tensions from escalating, while Iran is discussing regional security with Saudi Arabia without foreign troops. Developments in the conflict also accompanied an approximately 1.3 per cent rise in oil prices on Nov 3.
Dijana oleh AI

DUBAI: Iran dan Amerika Syarikat masih jauh daripada mencapai persetujuan untuk menamatkan perang antara kedua-dua negara, meskipun Qatar mempergiat usaha pengantaraan bagi merapatkan perbezaan pendirian.

Seorang pegawai kanan Iran memberitahu Reuters pada Selasa (3 Nov) bahawa para pengantara sedang berusaha merapatkan jurang antara Tehran dengan Washington, di tengah-tengah kebimbangan pertempuran akan kembali memuncak selepas pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat.

Pegawai itu, yang enggan dikenali, berkata para pengantara Qatar berkunjung ke Tehran pada malam Isnin (2 Nov) untuk membincangkan draf persetujuan antara Amerika Syarikat dengan Iran yang dirundingkan sejak 8 hari lalu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan syarat Tehran perlu dipenuhi sebelum Selat Hormuz dibuka semula.

Antara tuntutan Iran termasuk menarik balik sekatan terhadap minyaknya, menamatkan sekatan laut Amerika dan membebaskan dana Iran yang dibekukan.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, Mohsen Rezaei, pula berkata maklum balas Washington terhadap tuntutan Tehran tidak meyakinkan.

Menurut beliau, Amerika perlu menangani sepenuhnya 7 syarat Iran dan melaksanakannya sebelum Selat Hormuz boleh dibuka semula.

Dalam perkembangan berkaitan, Amerika melancarkan serangan yang disifatkannya sebagai langkah pertahanan terhadap Pulau Qeshm di Iran pada malam Isnin.

Seorang pegawai Amerika berkata serangan itu menyasarkan peluru berpandu darat ke udara yang digunakan terhadap aset ketenteraan Amerika.

Seorang lagi pegawai menyatakan serangan tersebut kelihatan terhad dan tidak menandakan operasi pertempuran besar-besaran disambung semula.

Presiden Donald Trump pada Selasa (3 Nov) sekali lagi membayangkan kemungkinan tindakan ketenteraan terhadap Iran, meskipun sehari sebelumnya beliau menyatakan persetujuan dengan Tehran masih boleh dicapai.

Jurucakap Kementerian Ehwal Luar Qatar, Majed al-Ansari, berkata kedua-dua pihak sedang meneliti cadangan yang dikemukakan para pengantara.

Menurut beliau, pasukan Qatar yang berkunjung ke Tehran sudah pulang ke Doha, namun rundingan masih diteruskan.

Encik Al-Ansari berkata usaha diplomatik serantau sedang dipergiat bagi mengelakkan ketegangan kembali memuncak.

Beliau menambah Qatar masih berharap persetujuan dapat dicapai untuk membuka laluan kepada rundingan lanjut.

Seorang pegawai yang dimaklumkan mengenai rundingan itu berkata maklum balas Washington dan Tehran dijangka diterima dalam tempoh 36 jam.

Bagaimanapun, pegawai kanan Iran itu menegaskan Tehran tidak akan menerima tuntutan Amerika Syarikat yang dianggap keterlaluan.

Menurut beliau, rundingan nuklear hanya boleh dimulakan selepas syarat Iran dipenuhi.

Beliau turut memberi amaran bahawa Tehran akan bertindak balas dengan tegas, termasuk di luar rantau Timur Tengah, sekiranya Amerika Syarikat melancarkan serangan baharu.

Sementara itu, Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) mendakwa menembak jatuh sebuah dron MQ-9 milik Amerika dan 2 dron Lucas berhampiran Selat Hormuz.

Ketua Turus Angkatan Tentera Iran, Ali Abdollahi, pula berkata pihak tentera sedang mengemas kini senarai sasaran yang merangkumi aset Amerika Syarikat dan Israel.

Beliau menegaskan tentera Iran akan bertindak segera terhadap sebarang ancaman.

Perkembangan itu berlaku ketika harga minyak meningkat sekitar 1.3% pada Selasa (3 Nov), selepas merosot lebih 7% sehari sebelumnya susuli harapan terhadap kemajuan diplomatik.

Dalam usaha diplomatik serantau, Menteri Ehwal Luar Iran, Abbas Araqchi, berkata rundingan dengan Arab Saudi masih diteruskan bagi membentuk aturan keselamatan serantau baharu tanpa pelibatan tentera asing.

Minggu lalu, pegawai kanan Arab Saudi, Turki dan Pakistan mengadakan pertemuan dengan wakil Iran di Tehran, dalam hubungan peringkat tinggi pertama seumpamanya sejak Ogos.

Usaha itu berlangsung ketika konflik di rantau tersebut semakin meluas, dengan kumpulan Houthi yang disokong Iran di Yaman memperhebat serangan terhadap Arab Saudi.

Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita