Skip to main content

Dunia

PERANG INDIA-PAKISTAN: Pemimpin dunia seru India, Pakistan kawal diri, elak lebih banyak pertumpahan darah

India dan Pakistan saling berbalas serangan di sepanjang kawasan sempadan yang dipertikaikan pada Rabu (7 Mei) selepas New Delhi melancarkan serangan peluru berpandu ke atas musuh ketatnya, dalam keganasan paling teruk antara kedua-dua negara jiran yang bersenjatakan nuklear dalam tempoh dua dekad yang lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
PERANG INDIA-PAKISTAN: Pemimpin dunia seru India, Pakistan kawal diri, elak lebih banyak pertumpahan darah

Runtuhan bangunan masjid yang musnah akibat serangan peluru berpandu India, di Muridke, sebuah bandar di wilayah Punjab, Pakistan pada 7 Mei 2025. (Gambar: AP/K.M. Chaudary)

NEW DELHI: India dan Pakistan saling berbalas serangan di sepanjang kawasan sempadan yang dipertikaikan pada Rabu (7 Mei) selepas New Delhi melancarkan serangan peluru berpandu ke atas musuh ketatnya, dalam keganasan paling teruk antara kedua-dua negara jiran yang bersenjatakan nuklear dalam tempoh dua dekad yang lalu.

Sekurang-kurangnya 38 kematian dilaporkan, dengan Islamabad melaporkan 26 orang awam terbunuh akibat serangan India dan tembakan di sepanjang sempadan yang memisahkan kedua-dua negara itu, manakala New Delhi pula melaporkan 12 maut akibat tembakan Pakistan.

India mendakwa ia telah menyerang sembilan tapak "infrastruktur pengganas", dengan sebilangan daripadanya dikaitkan dengan serangan kumpulan bersenjata ke atas pelancong Hindu yang membunuh 26 orang di Kashmir, India pada bulan lalu.

Serangan India termasuk sasaran di Punjab, serangan pertamanya ke atas wilayah paling ramai penduduk di Pakistan sejak perang berskala penuh terakhir antara kedua-dua seteru lama lebih setengah abad lalu, mencetuskan kebimbangan permusuhan itu akan terus memuncak.

DUNIA SERU INDIA-PAKISTAN KAWAL DIRI, BERTENANG

Jawatankuasa Keselamatan Negara Pakistan, yang mengadakan mesyuarat tergempar yang diketuai oleh Perdana Menteri Shehbaz Sharif dan dihadiri oleh Panglima Tentera Darat Asim Munir, menyeru masyarakat antarabangsa supaya India 'dipertanggungjawabkan' atas tindakan dan serangannya ke atas Pakistan.

Wartawan CNA di Islamabad melaporkan perkara penting daripada mesyuarat tergempar itu, dengan Pakistan, di bawah Artikel 51 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mempunyai hak untuk bertindak balas. Ini bermakna Pakistan akan bertindak balas dalam masa beberapa hari akan datang - sentimen yang ditekankan oleh jurucakap tentera negara itu berikutan serangan peluru berpandu India.

Pendiriannya itu diambil selepas India melancarkan serangan rentas sempadan ke atas kawasan awam.

Para pemimpin dunia sejak itu telah mengeluarkan seruan bagi menggesa kedua-dua negara supaya mengawal diri dan mengelakkan pertumpahan darah.

“Dunia tidak mahu menyaksikan konfrontasi ketenteraan antara India dan Pakistan,” kata jurucakap ketua PBB Antonio Guterres, Stephane Dujarric, dalam satu kenyataan.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memberitahu para wartawan di Washington bahawa beliau berharap pertempuran itu akan "berakhir dengan pantas".

Jabatan Negara Amerika menyatakan, Setiausaha Negara Marco Rubio sedang berbincang dengan penasihat keselamatan negara dari kedua-dua negara tersebut bagi menggesa "kedua-dua negara supaya memastikan talian komunikasi terbuka dan mengelakkan pertempuran terus meningkat".

Pemerintah Afghanistan pimpinan Taliban turut memberi amaran kepada India dan Pakistan bahawa pertempuran dan permusuhan lebih lanjut "hanya akan memporak-perandakan rantau tersebut".

Kebimbangan turut mencurah-curah, termasuk dari China - jiran kedua-dua negara - serta Britain, Perancis, Rusia, Jerman dan Turki, manakala syarikat-syarikat penerbangan, termasuk Singapore Airlines (SIA) dan Scoot, telah membatalkan, melencongkan atau mengubah laluan penerbangan masing-masing.

India dan Pakistan sudah beberapa kali berperang berhubung wilayah Kashmir yang dibahagikan sejak ia terbentuk pada akhir pemerintahan British pada tahun 1947.
Sumber : Agensi berita/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita