PERANG INDIA-PAKISTAN: Keterjaminan makanan global kian terancam
Krisis yang memuncak antara India dan Pakistan menyusuli serangan pengganas di Pahalgam pada 22 April lalu dan terkini Operasi Sindoor yang dilancarkan India terhadap Pakistan telah menimbulkan kebimbangan global, khususnya kesan terhadap keterjaminan makanan.
Anggota tentera berdiri di hadapan masjid yang musnah akibat serangan disyaki peluru berpandu oleh India di Muzaffarabad pada 7 Mei 2025. (Gambar: AP/MD Mughal)
India dan Pakistan, dua negara bersenjata nuklear, juga merupakan pengeluar utama hasil pertanian.
Kedua-duanya menyokong kehidupan lebih 1.7 bilion penduduk dan menyumbang secara signifikan kepada pasaran makanan global.
Sebarang gangguan terhadap pengeluaran pertanian mereka boleh memberi kesan besar di peringkat antarabangsa.
Gangguan Terhadap Pertanian di Zon Konflik
Para pakar memberi amaran bahawa konflik ketenteraan boleh mengganggu musim penanaman dan penuaian, terutamanya bagi tanaman ruji seperti gandum, padi dan kekacang.
Profesor Kehormat Jabatan Sains Alam Sekitar, Rutgers University, Alan Robock berkata wilayah Punjab yang merentasi kedua-dua negara merupakan kawasan pertanian utama.
Selain itu, tindakan India menggantung Perjanjian Air Indus telah menimbulkan kebimbangan mengenai kekurangan air di kawasan pertanian Pakistan yang boleh menjejaskan sistem pengairan dan ternakan.
Malah, perpindahan penduduk luar bandar akibat konflik juga boleh menyebabkan kekurangan tenaga kerja dalam sektor pertanian.
Kesan Alam Sekitar Akibat Konflik Nuklear
Satu kajian yang diterbitkan Robock dalam jurnal Science Advances pada 2019 memberi amaran bahawa persengketaan senjata nuklear antara India dan Pakistan boleh melepaskan antara 16 hingga 36 juta tan karbon hitam ke permukaan atmosfera.
Kesan daripada kejadian ini boleh menyebabkan penurunan suhu global sehingga 5 darjah Celsius, pengurangan cahaya matahari sebanyak 35 peratus dan penurunan hujan sebanyak 30 peratus.
Perubahan ini akan memberi kesan besar terhadap pertanian global dengan pertumbuhan tanaman dijangka menurun sebanyak 30 peratus dan produktiviti lautan sebanyak 15 peratus.
Kajian itu menganggarkan lebih 100 juta orang boleh terkorban dalam tempoh segera selepas konflik nuklear dengan tambahan 50 hingga 125 juta kematian akibat radiasi, kebuluran dan keruntuhan alam sekitar.
Implikasi Ekonomi dan Perdagangan
Konflik ini juga boleh mengganggu perdagangan makanan.
Kedua-dua negara mungkin mengenakan larangan eksport bagi memastikan bekalan domestik mencukupi, yang boleh menyebabkan lonjakan harga dalam pasaran global.
Rantaian bekalan juga boleh terjejas akibat kerosakan infrastruktur, sekali gus menyukarkan pengedaran makanan.
Negara-negara di Timur Tengah, Afrika Timur dan Asia Tenggara yang bergantung kepada eksport makanan dari Asia Selatan adalah antara yang paling terdedah kepada gangguan ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.