Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PERANG INDIA-PAKISTAN: Kementerian Luar Pakistan tuduh India cetus 'konflik besar'

Anggaran Waktu Membaca:
PERANG INDIA-PAKISTAN: Kementerian Luar Pakistan tuduh India cetus 'konflik besar'

Tembok Projek Tenaga Hidro Neelum Jhelum yang rosak sebahagiannya berikutan serangan India di Nausari, kira-kira 40km dari Muzaffarabad, ibu kota Kashmir yang ditadbir Pakistan, pada 8 Mei 2025. (Gambar: AFP/Sajjad Qayyum)

Diterbitkan : 10 May 2025 07:24AM Dikemas Kini : 10 May 2025 07:45AM
ISLAMABAD: Pakistan pada Jumaat (9 Mei) menuduh India membawa kedua-dua negara itu "lebih dekat kepada konflik yang besar", sedang jumlah kematian akibat serangan peluru berpandu, bedilan meriam dan dron selama tiga hari melepasi 50 orang.

Pertempuran berdarah itu berlaku selepas serangan ke atas pelancong di bahagian Kashmir yang dikendalikan India mengorbankan 26 orang pada bulan lalu, yang New Delhi menuduh Islamabad menyokong serangan tersebut.

Pakistan bagaimanapun telah menolak dakwaan tersebut.

India bertindak balas dengan melancarkan serangan udara ke atas apa yang disifatkan sebagai "kem pengganas" di Pakistan pada Rabu lalu, membunuh lebih 20 orang awam dan mencetuskan pertempuran terburuk antara kedua-dua negara sejak beberapa dekad yang lalu.

Jurucakap Kementerian Luar Pakistan Shafqat Ali Khan berkata bahawa "tindakan melulu India telah membawa kedua-dua negara bersenjata nuklear itu lebih dekat kepada konflik yang besar".

Jurucakap Tentera Pakistan, Ahmed Sharif Chaudhry memberitahu media: "Kami tidak akan berdiam diri - dengan kemusnahan yang mereka lakukan terhadap pihak kami, mereka harus menanggung padahnya."

"Setakat ini, kami telah melindungi diri kami tetapi mereka akan menanggung padahnya mengikut masa kami sendiri," tambahnya.

Pada hari ketiga pertempuran, tentera India mendakwa bahawa ia telah "menangkis" serangan Pakistan yang menggunakan dron dan senjata lain semalaman, dan India memberikan "tindak balas yang sewajarnya".

Lewat Jumaat (9 Mei), sumber pertahanan India memberitahu AFP bahawa dron-dron telah dilihat di kawasan Kashmir yang ditadbir India di Jammu dan Samba, dan di wilayah Punjab.

Sebelum ini, jurucakap tentera Pakistan menafikan bahawa Islamabad telah melancarkan serangan sedemikian.

Kedua-dua negara telah berperang beberapa kali berhubung Kashmir yang majoriti penduduknya beragama Islam, yang dibahagikan antara kedua-dua negara.

Pada Jumaat, Perdana Menteri India Narendra Modi dipercayai telah mengadakan mesyuarat dengan penasihat keselamatan negaranya, menteri pertahanan dan ketua-ketua angkatan tentera, dedah pejabatnya.
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan