PERANG INDIA-PAKISTAN: Kementerian Luar Pakistan sifatkan serangan India 'tindakan perang terang-terangan tanpa provokasi'
Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif berkata pada Rabu (7 Mei) bahawa serangan India terhadap bandar-bandar Pakistan dan Kashmir disifatkan sebagai satu 'serangan pengecut' dan Islamabad memberi 'tindak balas wajar' kepada 'tindakan perang' oleh New Delhi.
Pegawai kecemasan dikerahkan ke tempat kejadian di Muridke, sebuah bandar di wilayah Punjab, Pakistan pada 7 Mei 2025. (Gambar: AP/KM Chaudary)
"Negara Pakistan dan tentera Pakistan tahu bagaimana untuk menangani musuhnya," kata PM Sharif dalam kenyataannya.
"Musuh itu tidak akan dibenarkan berjaya dalam matlamat jahatnya," katanya.
Sebelum ini, India menyatakan ia telah melancarkan serangan peluru berpandu yang menyasarkan sembilan lokasi di Pakistan dan Kashmir.
Leftenan Jeneral Ahmed Sharif Chaudhry, iaitu jurucakap bagi tentera Pakistan, berkata India melepaskan peluru berpandu terhadap bandar-bandar Bahawalpur, Muridke, Bagh, Muzaffarabad dan Kolti dari ruang udaranya sendiri.
Serangan antara kedua-dua negara jiran yang bersenjatakan nuklear itu berlaku menyusuli serangan di Pahalgam, Kashmir pada 22 April lalu, di mana 26 orang terkorban.
India menyalahkan Pakistan atas serangan itu, sambil mendakwa terdapat kaitan rentas sempadan.
Pakistan menafikan ia mempunyai sebarang kaitan dengan pembunuhan itu.
Dalam satu kenyataan berasingan, Kementerian Luar Pakistan menyifatkan serangan peluru berpandu oleh India itu sebagai 'tindakan perang secara terang-terangan tanpa provokasi' dan satu pelanggaran kedaulatannya.
"Pakistan berhak memberi tindak balas sewajarnya pada masa dan tempat pilihannya, mengikut Artikel 51 Piagam PBB dan seperti termaktub dalam undang-undang antarabangsa," menurut kementerian itu.
Sementara itu, wilayah Punjab di Pakistan yang menyempadani India, mengisytiharkan perintah darurat dan mengarahkan semua institusi pendidikan ditutup pada Rabu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.