Skip to main content

Dunia

Perang di Gaza harus dihentikan!: OIC

Anggaran Waktu Membaca:
Perang di Gaza harus dihentikan!: OIC

(Gambar: Handout / Iranian Presidency / AFP)

Diterbitkan : 12 Nov 2023 03:14PM Dikemas Kini : 12 Nov 2023 04:53PM
RIYADH: Negara-negara Liga Arab berbelah bagi atas "klausa penting" yang tidak boleh diterapkan ke dalam tindak balas bersama terhadap serangan Israel ke atas Gaza, menurut laporan laman bahasa Arab kepada The New Arab, Al-Araby Al-Jadeed.

Perselisihan pendapat itu membawa kepada gabungan dua mesyuarat penting tergempar antara Liga Arab dengan Muktamar Islam (OIC). Persidangan itu diadakan pada Sabtu (11 Nov) di Riyadh.

Menurut laporan Al-Araby-Al-Jadeed, empat "negara berpengaruh" menolak cadangan yang membawa langkah-langkah kukuh terhadap Israel, dan mencadangkan klausa yang tidak memerlukan komitmen.

Klausa yang ditolak dipercayai melibatkan larangan penggunaan pangkalan tentera Amerika Syarikat dan tentera lain di negara Arab untuk membekalkan senjata dan peluru kepada Israel; membekukan hubungan diplomatik, ekonomi, keselamatan dan ketenteraan Arab dengan Israel; dan ancaman untuk menggunakan minyak dan keupayaan ekonomi Arab untuk memberi tekanan dan menghentikan keganasan yang berterusan.

Libya juga mencadangkan bahawa kenyataan akhir persidangan itu harus ada kenyataan bersama yang menyokong hak rakyat Palestin untuk menentang penjajahan Israel, lapor Al-Araby-Al-Jadeed.

Langkah-langkah ini dicadangkan dan disokong oleh 11 negara Arab daripada badan 22 anggota itu, termasuk Palestin, Syria, Algeria, Tunisia, Iraq, Lebanon, Kuwait , Qatar, Oman, Libya dan Yemen.

MANDAT KEPADA INDONESIA DAN 6 NEGARA LAIN

Indonesia adalah salah satu negara yang diberi mandat oleh OIC untuk mula bertindak bagi pihak OIC dan Liga Arab untuk hentikan peperangan di Gaza, lapor ANTARA.

Selain Indonesia, para pemimpin OIC juga bersetuju ke atas sebuah ketetapan selepas persidangan pada Sabtu di Riyadh, yang turut memberi mandat ke atas Arab Saudi, Jordan, Mesir, Qatar, Turki dan Nigeria untuk membantu dalam proses politik untuk mencapai kedamaian antara Israel dan Palestin.

Selain mengecam kekejaman Israel di Gaza, pemimpin OIC termasuk Presiden Jokowi turut menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertindak mengeluarkan ketetapan supaya keganasan dapat dihentikan segera, bantuan boleh masuk, serta menitikberatkan kepentingan mematuhi undang-undang antarabangsa.

Menurut ANTARA, persidangan itu penting bagi menunjukkan solidariti negara-negara OIC serta untuk meraih usaha tambahan supaya keganasan Israel terhadap rakyat Palestin dapat dihentikan dengan segera.

GESAAN UNTUK GENCATAN SENJATA

Serangan pula semakin meningkat pada Jumaat malam (11 Nov) berhampiran hospital di Bandar Gaza yang kini menjadi terlalu sesak, menurut pegawai Palestin.

Presiden Turki Tayyib Erdogan menggesa persidangan damai antarabangsa diadakan untuk mencari huraian kekal kepada konflik antara Israel dengan Palestin, seperti ditukil laporan Reuters.

"Apa yang kami perlukan di Gaza bukanlah jeda selama beberapa jam, malah kita perlukan gencatan senjata yang berkekalan," katanya.

Amir Qatar berkata bahawa negaranya, yang menempatkan beberapa anggota Hamas, sedang berusaha menjadi pengantara bagi pembebasan tebusan Israel dan berharap gencatan senjata kemanusiaan akan dicapai tidak lama lagi.

"Berapa lama lagi masyarakat antarabangsa akan menganggap seolah-olah Israel dapat mengelak undang-undang antarabangsa?" katanya, lapor Reuters.

Beliau menekankan bahawa satu langkah perlu dijalankan supaya gencatan senjata itu dilakukan segera, menambah bahawa "OIC memerlukan semua pihak untuk meminta Israel bertanggungjawab atas kekejaman kemanusiaan yang telah dilakukannya."

Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal bin Farhan memberitahu pemberita bahawa tidak mungkin ada perbincangan mengenai masa depan Gaza kecuali "bercakap mengenai gencatan senjata segera".

Beberapa negara Arab, diketuai oleh Algeria, menggesa agar hubungan diplomatik dengan Israel diputuskan sepenuhnya, dua perwakilan memberitahu Reuters.

Negara-negara Arab lain yang menjalin hubungan diplomatik dengan Israel menolak, menekankan keperluan untuk memastikan saluran terbuka dengan kementerian Netanyahu.

Dalam sidang media di Tel Aviv, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menggesa kepimpinan Arab untuk "berdiri menentang Hamas."

"Ia hanya membawa dua perkara ke Carikan Gaza - kemiskinan dan darah," kata Netanyahu. "Hamas adalah sebahagian daripada paksi keganasan yang dipimpin Iran dan paksi keganasan serta kebencian itu membahayakan seluruh dunia dan seluruh dunia Arab."
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita