Perang Amerika Syarikat, Israel dan Iran: Iran serang negara Teluk setelah setuju laksana gencatan senjata 'rapuh' bersama Amerika Syarikat
Naib Presiden Amerika Syarikat JD Vance memberi amaran gencatan senjata antara Washington dengan Tehran kekal "rapuh" pada Rabu (8 Apr) setelah beberapa negara Teluk mengalami serangan baharu selang beberapa jam setelah kedua-dua negara seteru bersetuju melaksanakan gencatan senjata selama dua minggu.
Asap berkepul naik dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait menyusuli serangan dron terhadap sebuah tapak simpanan bahan bakar di Kuwait City, Kuwait pada 25 Mac 2026. (Gambar fail: AP)
Serangan terhadap Kuwait dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) berlaku setelah dua kapal melintasi Selat Hormuz selepas Iran bersetuju membuka untuk sementara waktu laluan air strategik di bawah ancaman dihapuskan oleh Presiden Donald Trump.
Kedua-dua pihak mendakwa meraih kemenangan setelah gencatan senjata pada saat-saat akhir itu diumumkan.
Namun Iran memberi amaran perang belum berakhir sehingga syarat-syarat rasmi dirundingkan, dengan rundingan antara Tehran dengan Washington dijangka diadakan di Pakistan pada Jumaat (10 Apr).
Dalam ucapannya di Budapest, Encik Vance berkata rundingan itu boleh menjadikan "gencatan senjata rapuh" itu satu perjanjian jika Iran "bersedia dengan niat baik untuk bekerjasama dengan kami".
Jika tidak "mereka akan menyedari bahawa Presiden Amerika Syarikat bukanlah seseorang untuk main-main. Beliau kurang sabar. Beliau kurang sabar meraih kemajuan", kata Encik Vance.
Pope Leo merupakan antara pemimpin dunia yang menyeru pada Rabu supaya peperangan itu ditamatkan sepenuhnya, yang sudah pun mengorbankan ribuan orang, mencetuskan krisis tenaga dan menggoyahkan pasaran global.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.