Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: WFH, minggu kerja lebih pendek antara langkah tangani krisis bahan api di Asia

Ketika kebanyakan negara memindahkan rakyat masing-masing dari Timur Tengah menyusuli serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran yang bermula pada 28 Februari, sesetengah negara di Asia mengumumkan strategi bagi menguruskan kesan perkembangan itu.
Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: WFH, minggu kerja lebih pendek antara langkah tangani krisis bahan api di Asia
Minggu kerja lebih pendek antara langkah tangani krisis bahan api di Asia. (Gambar: REUTERS/Kai Pfaffenbach)
Diterbitkan : 12 Mar 2026 08:27AM
KUALA LUMPUR: Ketika kebanyakan negara memindahkan rakyat masing-masing dari Timur Tengah menyusuli serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran yang bermula pada 28 Feb, sesetengah negara di Asia mengumumkan strategi bagi menguruskan kesan perkembangan itu.

Pendekatan itu kebanyakannya diambil oleh negara-negara yang sangat bergantung kepada minyak mentah dari Timur Tengah, ketika ketegangan yang semakin memuncak di rantau itu menyebabkan turun naik ketara pada pasaran tenaga global serta menjejaskan bekalan bahan api.

Pada 6 Mac, Presiden Filipina Ferdinand Romualdez Marcos mengarahkan pelaksanaan minggu kerja empat hari di beberapa pejabat di bawah cabang eksekutif sebagai sebahagian langkah pemerintah untuk menjimatkan tenaga dan mengurangkan kesan konflik di Timur Tengah.

Dalam mesej video, Encik Marcos berkata aturan sementara itu berkuat kuasa pada 9 Mac dan terpakai kepada pejabat tertentu di bawah cabang eksekutif, menurut laporan media tempatan.

Bagaimanapun, arahan itu tidak melibatkan agensi-agensi yang menyediakan perkhidmatan kecemasan atau perkhidmatan penting, termasuk polis, bomba dan pejabat perkhidmatan awam barisan hadapan.

Encik Marcos turut mengarahkan semua agensi pemerintah menjimatkan tenaga serta mengurangkan penggunaan elektrik dan perbelanjaan bahan api antara 10 hingga 20 peratus.

Pada 9 Mac, media melaporkan bahawa Bangladesh mengumumkan ia menutup semua universiti dan mempercepatkan cuti Aidilfitri sebagai sebahagian daripada langkah kecemasan untuk menjimatkan elektrik dan bahan api di tengah-tengah krisis tenaga yang semakin meruncing berkaitan konflik di Timur Tengah.

Pihak berkuasa berkata keputusan itu terpakai kepada semua universiti awam dan swasta di seluruh negara itu, langkah yang menurut para pegawai, bukan sahaja mengurangkan penggunaan elektrik malah mengurangkan kesesakan lalu lintas yang menyebabkan pembaziran bahan api.

Seorang wartawan di Dhaka, Tanzil Rahaman, ketika dihubungi mengenai perkara itu berkata terdapat krisis tenaga menyusuli perang yang sedang berlaku di Timur Tengah.

Ditanya sama ada bekerja dari rumah (WFH) mungkin dikuatkuasakan di negara itu, beliau berkata setakat ini tiada aturan sedemikian.

“Semua orang kini bekerja di pejabat,” katanya.

Di Pakistan, Perdana Menteri Shehbaz Sharif pada 9 Mac mengumumkan beberapa langkah penjimatan bagi menangani krisis bahan api yang tercetus menyusuli konflik berterusan di Timur Tengah, lapor Xinhua.

Perdana Menteri Pakistan itu berkata ketika menyampaikan ucapan kepada seluruh negara bahawa di bawah langkah baharu itu, peruntukan bahan api bagi kenderaan jabatan pemerintah akan dikurangkan sebanyak 50 peratus bagi tempoh dua bulan akan datang, dan 60 peratus daripada kenderaan itu akan dihentikan penggunaannya.

Selain itu, beliau berkata 50 peratus kakitangan sektor awam dan swasta akan bekerja dari rumah, kecuali dalam perkhidmatan penting, sambil menegaskan bahawa pejabat pemerintah akan beroperasi empat hari seminggu.

Beliau turut mengumumkan bahawa semua sekolah di negara itu akan ditutup selama dua minggu bermula pada akhir minggu semasa sebagai sebahagian langkah penjimatan tenaga.

Pada 10 Mac, BERNAMA melaporkan bahawa Perdana Menteri sementara Thailand Anutin Charnvirakul mengarahkan agensi kerajaan dan perusahaan milik negara supaya segera melaksanakan aturan WFH bagi mengurangkan penggunaan tenaga menyusuli ketegangan geopolitik yang berpanjangan di Timur Tengah.

Timbalan Jurucakap Kerajaan Thailand Lalida Prertwiwatthana berkata arahan itu terpakai kepada jabatan-jabatan yang pelaksanaan WFH tidak menjejaskan perkhidmatan awam, sebagai sebahagian langkah lebih luas bagi meningkatkan kecekapan pengurusan sumber sektor awam.

Beliau berkata perdana menteri turut mengarahkan agensi menangguhkan lawatan sambil belajar dan program latihan di luar negara serta melaksanakan aktiviti berkenaan di dalam negara.

“Semua agensi telah diarahkan untuk melaksanakan langkah ini sambil memastikan perkhidmatan awam tidak terjejas,” kata Cik Lalida dalam kenyataan selepas mesyuarat Kabinet pada Selasa (10 Mac).

Beliau menambah bahawa pihak berkuasa akan memantau dengan rapi perkembangan dalam situasi ekonomi dan tenaga global bagi memastikan dasar-dasar dapat diselaraskan dengan sewajarnya dan tepat pada masanya.

Thailand sangat bergantung kepada import minyak mentah, khususnya dari Timur Tengah.

Vietnam turut mengambil pendekatan yang sama.

Pada 10 Mac, Kementerian Perindustrian dan Perdagangan Vietnam menggalakkan kerja secara online bagi mengurangkan keperluan perjalanan dan penggunaan pengangkutan.

Kementerian itu menggesa rakyat supaya mengamalkan langkah penjimatan bahan api termasuk mengehadkan penggunaan kenderaan persendirian apabila tidak perlu, berkongsi kenderaan, menggunakan pengangkutan awam serta mengutamakan basikal bagi perjalanan jarak dekat.

Rakyat Vietnam juga digalakkan menimbangkan penggunaan kenderaan elektrik dan hibrid.

Krisis di Timur Tengah bermula pada 28 Feb apabila Amerika Syarikat dan Israel menyerang Iran, menyebabkan Iran bertindak balas dengan menyerang kepentingan Amerika Syarikat di rantau itu.

Iran kini turut mewajibkan kapal tangki yang menggunakan Selat Hormuz, laluan utama tenaga global, mendapatkan kelulusan daripada negara itu dan berikrar tidak akan membenarkan kapal tangki dari Amerika Syarikat dan sekutunya melaluinya.
Sumber : Bernama/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita