Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Washington iring 87 kapal tangki lalu Selat Hormuz

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Washington iring 87 kapal tangki lalu Selat Hormuz

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 20 Jun 2026 01:58PM Dikemas Kini : 20 Jun 2026 01:59PM
ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata Washington secara senyap-senyap menggerakkan sekurang-kurangnya 87 kapal tangki minyak melalui Selat Hormuz, dalam kegelapan malam, tanpa disedari tentera Iran, lapor Anadolu Ajansi (AA).

"Kami akan bertolak pada pukul 1 pagi, semua lampu dipadamkan, dan kapal pemusnah tentera laut kami akan belayar bersama," kata Encik Trump kepada Axios dalam satu temu bual yang disiarkan pada Jumaat.

Encik Trump berkata operasi itu boleh dilakukan kerana tentera Amerika telah "memusnahkan" radar dan sistem pertahanan Iran sebelum perang meletus.

Selama lebih sebulan, katanya, "tiada siapa yang tahu" asal usul minyak yang diangkut melalui selat tersebut.

Kenyataan itu dibuat selepas gangguan selama beberapa minggu terhadap pasaran tenaga global berikutan serangan Amerika-Israel ke atas Iran yang bermula pada 28 Feb.

Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth baru-baru ini berkata "Project Freedom” telah berjaya mengiringi 125 juta tong minyak melalui Selat Hormuz.

Dalam perkembangan lain, bercakap kepada anggota perkhidmatan Tentera Udara Washington sebelum berlepas dari Pangkalan Bersama Andrews, Encik Trump berkata kapal-kapal itu belayar keluar dari Selat Hormuz "seperti yang belum pernah dilihat oleh sesiapa pun sebelum ini."

Beliau mengulangi bahawa Amerika mempunyai "tentera terhebat di mana sahaja di dunia."

Berhubung memorandum persefahaman yang ditandatangani dengan Iran, Encik Trump berkata Iran mempunyai 60 hari untuk mencapai persetujuan muktamad.

"Kami mempunyai perjanjian yang telah ditandatangani malam tadi. 60 hari, mereka perlu membuat perjanjian. Jika tidak, kami akan melakukan perkara yang tidak akan menggembirakan mereka.

“Saya tidak fikir ia akan sampai ke situ. Jika kita berbuat demikian, maka secara tiba-tiba, anda tidak akan mendapat minyak yang mengalir keluar dari selat itu," katanya.

Pada Rabu, Encik Trump dan Presiden Iran Masoud Pezeshkian secara elektronik menandatangani Memorandum Persefahaman Islamabad yang bertujuan menamatkan perang antara Amerika, Israel dan Iran, serta menghentikan serangan Israel ke atas Lubnan.
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita