Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Utusan khas Amerika yakin Tehran akan runding 'minggu ini' sedang 2 loji nuklear Iran diserang

Anggaran Waktu Membaca:
TEHRAN: Utusan khas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, Steve Witkoff berkata pada Jumaat (27 Mac) bahawa beliau percaya Iran akan mengadakan rundingan dengan Washington “minggu ini” untuk menamatkan perang yang sudah berlarutan selama sebulan.

Ini sedang serangan Amerika Syarikat-Israel melanda dua kemudahan nuklear Iran.

Iran mengancam akan bertindak balas terhadap tapak industri di rantau tersebut, tanpa tanda jelas konflik akan berakhir dan pasaran berada dalam keadaan tidak menentu akibat pertempuran serta penutupan Selat Hormuz.

“Kami fikir akan ada rundingan minggu ini, dan kami sememangnya berharap demikian,” kata Encik Witkoff dalam sebuah forum perniagaan di Miami.

"Washington menjangkakan Tehran akan memberi respons terhadap pelan damai 15 perkara yang dikemukakan Amerika Syarikat, katanya.

“Ia boleh menyelesaikan semuanya.”

Usaha diplomatik ini berlaku sedang Setiausaha Negara Marco Rubio meninggalkan rundingan G7 di Paris dan berkata bahawa Washington menjangkakan operasi ketenteraannya akan mencapai kemenangan dalam beberapa minggu.

“Apabila kami selesai dalam beberapa minggu akan datang, ia akan menjadi lebih lemah daripada yang pernah ia alami dalam sejarah terkini,” katanya kepada wartawan.

Encik Rubio berkata beliau memperoleh sokongan G7 untuk menentang percubaan Iran mengenakan bayaran ke atas perkapalan di Selat Hormuz, iaitu laluan laut penting bagi eksport minyak dan gas Teluk.

“Bukan sahaja ini menyalahi undang-undang, ia tidak boleh diterima, ia berbahaya kepada dunia, dan penting untuk dunia mempunyai pelan bagi menanganinya,” katanya.

Dalam kenyataan bersama, menteri luar G7 “menegaskan semula keperluan mutlak untuk memulihkan kebebasan pelayaran yang selamat dan bebas tol secara kekal di Selat Hormuz” serta menggesa “penghentian segera serangan terhadap orang awam dan infrastruktur awam.”

Encik Rubio berkata Iran menghantar “mesej” kepada pihak Amerika tetapi belum memberikan respons rasmi terhadap pelan damai tersebut.
 
Sumber : AP/IM/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita