Perang Amerika, Israel dan Iran: UNSC lulus permohonan Indonesia adakan mesyuarat tergempar berhubung insiden serangan pasukan pengaman UNIFIL
Permohonan Indonesia untuk mengadakan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) berhubung serangan maut ke atas pasukan pengamannya di Lubnan diluluskan, ketika negara itu mendesak agar kecaman dan kebertanggungjawaban diambil menyusuli insiden tersebut.
Permohonan Indonesia untuk mengadakan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) berhubung serangan maut ke atas pasukan pengamannya di Lubnan diluluskan. (Gambar fail: REUTERS)
Menurut Agensi Berita ANTARA, Menteri Luar Negeri Sugiono berkata Perancis, selaku negara peneraju UNSC bagi isu Lubnan, menyokong permintaan tersebut, dengan mesyuarat itu dijangka mengeluarkan kecaman keras terhadap serangan ke atas pasukan pengaman yang berkhidmat di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).
Encik Sugiono berkata permohonan itu disampaikan melalui Wakil Tetap Indonesia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York sehari selepas insiden pertama, yang menonjolkan tindak balas diplomatik pantas Jakarta.
Beliau berkata Indonesia mengutuk sekeras-kerasnya semua serangan terhadap kakitangan dan kemudahan pengaman PBB.
"Kami mengutuk sekeras-kerasnya serangan yang dilakukan terhadap pasukan pengaman, dalam kes ini UNIFIL. Kemudian kami juga menuntut agar siasatan menyeluruh dijalankan," tegas beliau.
Permohonan itu menyusul selepas kematian tiga anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang berkhidmat di bawah misi UNIFIL, dengan lima lagi cedera dalam insiden berkenaan.
Pada 3 April, tiga lagi anggota pengaman Indonesia cedera dalam satu letupan di El Addaiseh, selatan Lubnan.
Encik Sugiono berkata gesaan supaya siasatan menyeluruh dijalankan bertujuan memberi penjelasan berhubung punca insiden dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab, sambil menekankan bahawa keselamatan kakitangan antarabangsa mesti menjadi keutamaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.