Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: UNSC gagal laksana draf ketetapan tentang Selat Hormuz

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: UNSC gagal laksana draf ketetapan tentang Selat Hormuz

Anggota Majlis Keselamatan PBB mengundi pada mesyuarat berhubung draf resolusi mengenai Selat Hormuz di ibu pejabat PBB, New York City, Amerika Syarikat, 7 April 2026. (Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 08 Apr 2026 12:40PM Dikemas Kini : 08 Apr 2026 12:51PM
NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada Selasa gagal menerima pakai draf ketetapan yang "sangat menggalakkan" negara berkepentingan berkaitan laluan maritim komersial di Selat Hormuz untuk menyelaraskan usaha bagi memastikan keselamatan pelayaran merentasi laluan itu termasuk mengiringi kapal dagang dan komersial.

Sebelas anggota Majlis Keselamatan mengundi menyokong draf ketetapan itu. China dan Rusia mengundi menentang, manakala Colombia dan Pakistan berkecuali, lapor Xinhua.

Draf ketetapan berkenaan diusulkan oleh Bahrain dengan penyelarasan bersama rakan-rakan ahli Majlis Kerjasama Teluk iaitu Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu serta Jordan.

Dalam penjelasan mengenai undiannya, wakil tetap China ke PBB Fu Cong berkata draf ketetapan itu gagal mengetengahkan punca dan gambaran penuh konflik secara menyeluruh dan seimbang.

"Perang ini tidak sepatutnya berlaku," kata Encik Fu, sambil menggesa Amerika Syarikat dan Israel agar menghentikan "tindakan ketenteraan haram" mereka.

"Pada masa sama, Amerika Syarikat secara terbuka mengancam keuwujudan sesebuah tamadun, apabila permusuhan terhadap Iran berkemungkinan besar akan terus meningkat. Draf ketetapan itu, sekiranya ia diterima pakai, akan menghantar mesej yang sangat salah dan mempunyai akibat yang sangat serius," kata Encik Fu.

Vassily Nebenzia, wakil tetap Rusia ke PBB berkata draf ketetapan itu membentangkan tindakan Iran sebagai punca tunggal ketegangan serantau, manakala serangan haram oleh Amerika dan Israel terhadap Iran "tidak disebut sama sekali."

Sambil menyatakan bahawa draf ketetapan itu "mempunyai unsur-unsur tidak seimbang, tidak tepat dan konfrontasi." Beliau berkata ia membentuk "pendekatan yang pada asasnya salah dan berbahaya" kepada situasi di rantau itu dan implikasinya "jelas kepada kami."

Wakil tetap Iran ke PBB Amir Saeid Iravani berkata draf itu bertujuan "menghukum mangsa kerana mempertahankan kedaulatannya dan kepentingan negara yang penting di Teluk Parsi dan Selat Hormuz, sambil menyediakan perlindungan politik dan undang-undang untuk tindakan selanjutnya yang melanggar undang-undang oleh penceroboh."

“Pada dasarnya, ini ialah draf Amerika Syarikat,” tambahnya, sambil menyuarakan penghargaan kepada China dan Rusia atas tindakan bertanggungjawab mereka dalam melaksanakan kuasa veto, serta Pakistan dan Colombia kerana menahan diri dan mengiktiraf implikasi serius teks itu, yang akan membiarkan penggunaan kekerasan berdasarkan dakwaan tidak jelas dan tidak berasas.

Iran bertindak balas terhadap serangan ke atasnya menerusi langkah yang berkadar untuk menghalang laluan kapal yang dikaitkan dengan penceroboh manakala kapal yang tidak bermusuhan akan bebas menggunakan hak laluan mereka, katanya.

 
Sumber : BERITA Mediacorp/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita