Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Trump timbang rombakan Kabinet sedang tekanan perang Iran meningkat

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mempertimbangkan rombakan Kabinet meluas menyusuli penyingkiran Peguam Negara Pam Bondi pada minggu ini, setelah beliau semakin kecewa dengan kesan politik yang disebabkan oleh perang Iran, menurut lima individu yang rapat dengan perbincangan dalaman Rumah Putih.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Trump timbang rombakan Kabinet sedang tekanan perang Iran meningkat

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyampaikan ucapan kepada rakyat Amerika berhubung perang Iran di Rumah Putih di Washington, D.C., Amerika Syarikat pada 1 April 2026. (Gambar: Alex Brandon/Pool menerusi REUTERS)

Diterbitkan : 05 Apr 2026 10:43AM Dikemas Kini : 05 Apr 2026 11:30AM
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mempertimbangkan rombakan Kabinet meluas menyusuli penyingkiran Peguam Negara Pam Bondi pada minggu ini, setelah beliau semakin kecewa dengan kesan politik yang disebabkan oleh perang Iran, menurut lima individu yang rapat dengan perbincangan dalaman Rumah Putih.

Sebarang rombakan yang dilakukan berpotensi menjadi langkah permulaan baharu bagi Rumah Putih sedang ia berdepan tempoh politik yang mencabar.

Perang yang sudah pun berlarutan selama lima minggu itu mendorong kenaikan harga bahan api, menjejaskan kadar sokongan terhadap Encik Trump dan meningkatkan kebimbangan berhubung kesannya terhadap Parti Republican menjelang pilihan raya pertengahan penggal pada November.

Beberapa sekutu berkata ucapan Encik Trump yang disiarkan di televisyen kepada rakyat Amerika Syarikat pada Rabu (1 Apr) - yang menurut seorang pegawai kanan Rumah Putih bertujuan memaparkan kawalan dan keyakinan terhadap hala tuju perang - tidak memberi kesan, sekali gus menambah persepsi bahawa perubahan dalam penyampaian mesej atau barisan kepimpinan diperlukan.

“Rombakan bagi menunjukkan tindakan bukanlah sesuatu yang buruk, bukan?” kata seorang lagi pegawai Rumah Putih.

Tiga pegawai Rumah Putih dan dua lagi sumber yang mengetahui dinamika pentadbiran tersebut bercakap kepada Reuters dengan syarat tidak dikenal pasti bagi membincangkan perkara sensitif berkaitan kakitangan.

Sumber-sumber tersebut tidak secara konsisten menyatakan mana-mana anggota kabinet tertentu pasti akan dilucutkan daripada jawatan dalam masa terdekat.

Namun, beberapa pegawai dikatakan berdepan risiko tertentu.

Beberapa sumber berkata Pengarah Perisikan Negara Tulsi Gabbard dan Setiausaha Perdagangan Howard Lutnick merupakan antara mereka yang berkemungkinan terjejas, selepas Encik Trump menyingkirkan Cik Bondi dan Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Kristi Noem dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Encik Trump dalam beberapa bulan kebelakangan ini dilaporkan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Cik Gabbard, kata seorang pegawai kanan Rumah Putih.

Seorang lagi sumber yang mempunyai pengetahuan langsung berhubung perkara tersebut berkata Encik Trump bertanya kepada sekutu-sekutunya tentang pandangan mereka mengenai calon pengganti bagi ketua perisikannya itu.

Sementara itu, beberapa sekutu rapat Encik Trump secara tertutup menggesa supaya Encik Lutnick disingkirkan.

Encik Lutnick, seorang rakan peribadi kepada Encik Trump, kini sekali lagi menjadi tumpuan atas hubungannya dengan pesalah seks Jeffrey Epstein.

Fail-fail baharu yang didedahkan awal tahun ini menunjukkan Encik Lutnick pernah makan tengah hari bersama Epstein di pulau peribadinya di Caribbean pada 2012.

Namun, Encik Lutnick berkata beliau “hampir tidak mempunyai kaitan” dengan Epstein dan pertemuan itu berlaku hanya kerana beliau berada di sebuah bot berhampiran pulau tersebut.

Jurucakap Rumah Putih Davis Ingle berkata Encik Trump mengekalkan “keyakinan penuh” terhadap Cik Gabbard dan Encik Lutnick.

“Presiden telah membentuk kabinet yang paling berbakat dan berkesan yang pernah ada, dan mereka secara kolektif mencapai kejayaan bersejarah bagi rakyat Amerika, daripada peranan Pengarah Gabbard dalam menamatkan rejim pengganas dadah Maduro hingga peranan Setiausaha Lutnick dalam memeteraikan perjanjian perdagangan dan pelaburan utama,” menurut Encik Ingle dalam satu emel apabila diminta untuk mengulas perkara tersebut.

Jurucakap Pejabat Pengarah Perisikan Negara merujuk Reuters kepada satu catatan Rumah Putih di platform X pada Khamis, yang memetik pengarah perhubungan Rumah Putih Steve Cheung sebagai berkata Encik Trump mempunyai “keyakinan penuh” terhadap Cik Gabbard.

Jabatan Perdagangan pula tidak memberi respons segera terhadap permintaan komen.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita